11,010 peserta MOVAK 2.0 Pulau Pinang mula mendapatkan suntikan kedua hari ini

BEBERAPA peserta MOVAK 2.0 sedang meninggu giliran mendapatkan suntika kedua vaksin COVID-19 dalam bas yang ditukar guna menjadi PPV ‘bergerak’ di perkarangan Dewan Dato’ Hajj Ahmad Badawi di sini tengah hari tadi.

BAGAN DALAM – Sehingga jam 12 tengah hari ini kira-kira 50 peratus daripada 650 peserta siri kedua Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK 2.0) telahpun mendapatkan suntikan kedua vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ‘bergerak’ dekat perkarangan Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi di sini.

NUR ‘Aishah Md. Norodin

Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT), Nur ‘Aishah Md. Norodin memberitahu bahawa MOVAK 2.0 yang beroperasi sejak jam 8.30 pagi hingga 3.30 petang di sini tidak lagi menerima peniaga atau penjaja secara hadir terus (walk-in) bagi mendapatkan suntikan pertama.

“650 individu yang menerima suntikan kedua vaksin COVID-19 adalah individu yang sama mendapatkan suntikan pertama di sini sebelum ini.

“Kita (BKT) jangkakan kehadiran hampir 100 peratus, kalau ada pun yang tidak hadir atau tidak dibenarkan masuk ke sini adalah mereka yang masih dalam (tempoh kuarantin).

“Bagi mereka yang tidak dapat hadir disebabkan kuarantin, selepas habis tempoh kuarantin, dengan alasan ‘kuarantin’, boleh terus mendapatkan suntikan kedua vaksin secara hadir terus di mana-mana PPV awam,” jelasnya kepada pemberita di sini pada 20 September 2021.

Menurutnya lagi, pelaksanaan MOVAK 1.0 sebelum ini melibatkan 11,010 penyertaan.

“Kehadiran 100 peratus MOVAK 1.0 di kelima-lima daerah, selama empat hari, seramai 11,010 telah menerima suntikan pertama vaksin di sini,” katanya lagi sambil mengharapkan pelaksanaan MOVAK 2.0 turut menerima kehadiran hampir 100 peratus.

SUASANA MOVAK 1.0 pada 1 September lepas yang menerima lambakan orang awam terutama peniaga dan penjaja, secara hadir terus di sini | Gambar: Internet

Sebelum pada itu, Buletin Mutiara membuat tinjauan umum berhubung pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan di MOVAK 2.0 di sini.

Rata-rata pengunjung bukan sahaja diminta membuat imbasan kod QR serta membuat saringan suhu badan di lobi kompleks bangunan terlebih dahulu, bahkan, mereka turut diminta mengemukakan status MySejahtera serta dokumen berkaitan sebelum dibenarkan memasuki dewan menunggu, seterusnya mendapatkan vaksin dalam bas MOVAK 2.0.

Hanya mereka yang ‘berisiko rendah’ pada status MySejahtera serta tidak memakai sebarang ‘gelang’ dibenarkan menyertai MOVAK 2.0.

Suasana sejak pagi tadi ini agak lengang, baik di kawasan menunggu baik di kali lima bangunan ataupun dalam dewan.

Suasana sehingga tengah hari ini sangat berbeza berbanding operasi MOVAK 1.0 di sini pada 1 hingga 4 September lepas, yang menyaksikan lambakan pengunjung serta tidak mengamalkan penjarakan fizikal; hatta menggamit reaksi lanjut daripada Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor.

MOHD. Rizwan Rozi

Dalam sidang media berasingan tengah hari tadi, Penolong Setiausaha Kanan BKT, Mohd. Rizwan Rozi yang juga ketua pegawai operasi di sini memberitahu bahawa suasana lengang kerana MOVAK 2.0 hanya menerima individu yang ada janji temu untuk mendapatkan suntikan kedua.

“Selama empat hari yang mana hari ini adalah hari pertama, sehingga 3.30 petang nanti, kita tak terima lagi penjaja dan peniaga secara hadir terus untuk mendapatkan suntikan pertama.

“Hanya mereka yang ada janji temu untuk melengkapkan suntikan dos kedua vaksin COVID-19 sahaja dibenarkan masuk ke MOVAK 2.0, maka sebab itu suasana lengang,” jelasnya sambil menjangkakan MOVAK 2.0 di sini akan beroperasi sehingga Khamis, 23 September 2021.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR