Bengkel Kesedaran Pengendalian COVID-19 tingkat pemahaman peringkat akar umbi

GEORGE TOWN – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (MMK) telah memutuskan untuk mewujudkan dan mempertingkatkan keberkesanan program-program kesedaran berkaitan COVID-19 melalui Bengkel Kesedaran Pengendalian COVID-19 dalam masa terdekat.

 

 

 

Menurut Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng, bengkel tersebut bertujuan meningkatkan lagi usaha-usaha penyaluran maklumat yang tepat kepada penduduk di akar umbi.

 

 

“Antara isu-isu yang akan diberi perhatian adalah apa yang perlu dilakukan sekiranya ahli keluarga didapati positif, apa yang perlu dilakukan sekiranya menjadi kontak rapat, perbezaan antara kontak rapat dan sosial.

 

 

“Perkara lain termasuklah perkara yang perlu dilakukan sekiranya ahli keluarga mengalami kesukaran bernafas dan siapa yang perlu hubungi serta jarak hari yang sesuai menerima dos kedua sekiranya individu itu sudah menerima dos vaksin pertama dan didapati positif,” ujar Chong Eng melalui satu sidang media melalui aplikasi Zoom baru-baru ini.

 

 

Turut serta, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) Ong Bee Leng dan Penolong Pengarah (Penyakit Berjangkit) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) Dr. Rozaini Mat Shah.

 

 

Tambah Chong Eng, pengendalian bengkel yang berkonsepkan interaktif akan memberi peluang kepada peserta untuk membuat sesi soal jawab bersama wakil daripada JKNPP.

 

 

Zakiyuddin ketika berucap memberitahu gabungan ini akan melibatkan 375 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), di samping Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pusat-Pusat Khidmat Wakil Rakyat di negeri ini.

 

 

“Kaedah perlaksanaan Bengkel Kesedaran Pengendalian COVID-19 ini adalah dengan berkonsepkan ‘jelajah’ ke semua daerah di Pulau Pinang.

 

 

“Maka dengan itu, kita akan mempunyai lima bengkel yang akan dijalankan di seluruh negeri Pulau Pinang.

 

 

“Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan JKNPP untuk mendapatkan penceramah supaya memastikan segala maklumat yang disalurkan berinfomatif, terkini dan tepat,” maklum beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.

 

 

Bee Leng dalam pada itu memaklumkan bengkel tersebut dijangka akan dapat diadakan pada minggu ini sementara menunggu koordinasi dengan semua pihak berkepentingan.

 

 

“Untuk makluman, bengkel ini juga akan diadakan secara maya mengikut giliran MPKK melibatkan lima daerah,” katanya.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : PWDC