11,834 wanita terima manfaat Mammo Penang sejak dilancarkan – Exco

Admin

KEPALA BATAS – Golongan wanita berusia 35 tahun dan ke atas di Pulau Pinang perlu memanfaatkan peluang menjalani pemeriksaan mamogram percuma yang disediakan Kerajaan Negeri bagi mengetahui tahap kesihatan diri.

 

Seruan tersebut dilakukan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin ketika berucap merasmikan Bengkel “Training For Trainer” MAMMO Penang pagi tadi.

 

Jelasnya, Pulau Pinang mencatatkan kadar pesakit kanser payu dara paling tinggi di Malaysia iaitu  seramai 50 daripada 100,000 wanita menghidapinya berdasarkan statistik yang dikeluarkan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia (MNCR) dari tahun 2007 sehingga 2011.

 

“Berkat kerjasama yang diberikan, kita (Kerajaan Negeri) bersama dengan LPPKN (Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara) telah berjaya melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap 11,834 orang wanita di Pulau Pinang pada penggal yang lepas iaitu dari tahun 2015  sehingga 2018 menerusi program Mammo Penang.

 

“Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM2.658 juta tahun ini dan menyasarkan seramai 5,000 wanita akan mendapat manfaat program ini setiap tahun.

 

“Program-program percuma ini diberikan terutamanya kepada mereka yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan skim peduli kesihatan iaitu PeKa B40 sedang diperkenalkan oleh pusat khidmat setempat,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

 

Hadir sama, Pengarah LPPKN Negeri Pulau Pinang, Dr. Azura Abdullah dan Dr. Haniza Abu Hasan (Pakar Radiologi, Pusat Diagnostik Anda).

 

Sementara itu, Haniza dalam ucapannya memberitahu tentang peri penting seseorang wanita untuk melakukan pemeriksaan payu dara dan mengesan awal simtom-simtom kanser berkenaan.

 

“Para wanita yang berkelayakan perlu mendaftar di mana-mana Klinik Nur Sejahtera LPPKN di Pulau Pinang yang terletak di Seberang Jaya, Bertam dan Jalan Burmah.

 

“Pendaftaran juga boleh dilaksanakan di mana-mana program out-reach komuniti anjuran pemimpin-pemimpin tempatan dan melalui Klinik Bergerak LPPKN.

 

“Lokasi pendaftaran di Seberang Perai adalah Pusat Dignosis Anda dan Hospital Bagan manakala di bahagian Pulau (Hospital Lam Wah Ee dan Hospital Gleneagles),” jelasnya lanjut.

Teks dan Gambar: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN