Program Masjid Sejahtera jana kecemerlangan umat Islam & aspek penjagaan kesihatan- TKMI

DR. Afif Bahardin (dua dari kanan) memerhatikan Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (batik jingga) melakukan pemeriksaan tekanan darah dalam pameran Masjid Sejahtera pagi tadi.

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menyifatkan Program Masjid Sejahtera yang dilancarkan hari ini mampu meningkatkan peranan masjid secara lebih aktif bagi menjana kecemerlangan umat Islam termasuk aspek penjagaan kesihatan.

Jelasnya dalam menjayakan fokus utama Masjid Sejahtera itu, Kerajaan Negeri menggunakan kaedah Healthy Setting melalui prinsip ‘Ottawa Charter’ iaitu penerapan polisi kesihatan, sokongan persekitaran, penyertaan masyarakat, perkembangan kemahiran individu termasuk kesihatan dan orientasi perkhidmatan kesihatan.

“Terdapat enam skop utama yang dicadangkan bagi Program Masjid Sejahtera ini iaitu saringan dan Intervensi Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), mewujudkan fasiliti bebas rokok, pemakanan sihat cegah obesiti, aktiviti fizikal, kesihatan persekitaran iaitu mewujudkan masjid yang bersih, ceria, selamat dan bebas denggi serta kesihatan pergigian.

“NCD perlu diberi perhatian berikutan data kaji selidik dari National Health and Morbidity Survye (NHMS) menunjukkan prevalen faktor risiko NCD ini meningkat saban tahun di Malaysia.

“Selaras dengan seruan Kerajaan Negeri untuk membentuk Pulau Pinang menjadi sebuah negeri Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat, program Masjid Sejahtera ini dilihat dapat melahirkan masyarakat yang sihat, menjaga persekitaran bebas denggi dan seterusnya meningkatkan produktiviti serta kualiti kehidupan,” ujar Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri & Perhubungan Masyarakat ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Program Masjid Sejahtera Peringkat Negeri Pulau Pinang bertempat di Masjid Negeri, hari ini.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Mufti Kerajaan Negeri, Sohibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor; Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Zulkifli Long dan Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang, Dr. Rokiah Mohd.

Afif yang turut berucap pada majlis berkenaan bercadang untuk meluaskan konsep Mutiara Health Kiosk (MHK) yang dilancarkan baru-baru ini.

“Melalui MHK, kaunter saringan kesihatan dibuka di Bangunan MARA dekat Weld Quay pada hari Khamis dan juga Komtar (Selasa) untuk kemudahan orang ramai.

“Konsep ini mungkin kita oleh guna pakai juga di masjid untuk kemudahan masyarakat yang secara tidak langsung dapat menarik mereka ke masjid.

“Saringan awal sangat penting kerana terdapat individu yang sudah disahkan menghidap penyakit-penyakit NCD seperti darah tinggi, kencing manis dan komplikasi lain seawal usia 20-an,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD