120 murid bakal sertai program menarik cuti sekolah

Admin

GEORGE TOWN – Seramai 120 orang murid terpilih daripada enam buah sekolah sekitar KADUN Tanjung Bunga bakal menyertai program menarik sempena cuti sekolah iaitu ‘Pelayar-pelayar Comel Tanjung Bunga’.

Program anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga bersama-sama syarikat perkhidmatan bas transit, Penang Hop On Hop Off (Penang HOHO) itu bakal diadakan pada 3, 4 dan 5 Disember ini.

ADUN Tanjung Bunga, Zairil Khir Johari berkata, program tiga hari itu bertujuan untuk mengisi masa cuti sekolah murid-murid dengan aktiviti yang produktif serta menambah pengetahuan am dan pengalaman mengenai Pulau Pinang.

“Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk mengurangkan tekanan kepada murid-murid selepas menghadapi peperiksaan akhir tahun.

“Lawatan ini merupakan kali pertama diadakan oleh Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bunga khas bagi murid-murid sekolah rendah terpilih di kawasan Tanjung Bunga,

“Oleh itu saya berharap agar murid-murid dapat memanfaatkan masa cuti sekolah mereka dengan aktiviti-aktiviti yang positif.” katanya yang juga merupakan Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir pada sidang media di Komtar, tadi.

Hadir sama wakil Penang HOHO, Angeline Chan serta wakil dan guru besar daripada enam buah sekolah terlibat.

Difahamkan, peserta akan dibawa menaiki bas Penang HOHO mengelilingi kawasan George Town serta mengadakan lawatan ke tiga lokasi tumpuan pelancong iaitu Penang Wonderfood Museum, Made In Penang Interactive Museum serta The Chocolate Boutique.

Antara sekolah yang terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Tokong, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Poay Wah, SK Tanjung Bunga, SJKC Hun Bin, SK Batu Feringghi serta SJKC Pai Chai.

Oleh : YUSNINA MOHAMAD YUSOF
Gambar : ALVIE CHENG