12,000 unit rumah mampu milik bakal dibina

Oleh : ZULIANA AZIZ

KETUA Menteri menunjukkan replika pelan kawasan perumahan mampu milik, Bandar Cassia, Batu Kawan yang bakal dibina di sini.
KETUA Menteri menunjukkan replika pelan kawasan
perumahan mampu milik, Bandar Cassia, Batu Kawan
yang bakal dibina di sini.

GEORGE TOWN – Dengan keluasan minima 800 kaki persegi serta harga serendah RM72,500 sehingga RM200,000, sebanyak 12,000 unit rumah mampu milik bakal didirikan di Bandar Cassia, Seberang Perai Tengah (SPT), di sini yang mana fasa pertama dijangka siap dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir pada Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Mampu Milik di sini dalam ucapannya berkata, rumah mampu milik yang bakal didirikan bukan sahaja berkualiti, bahkan turut dilengkapi dengan ciri-ciri mesra penduduk seperti padang bola, ruang rekreasi dan bangunan untuk beribadat yang mampu memberikan kepuasan kepada pemilik rumah kelak.

“Kerajaan Negeri telah membuat keputusan berani dengan melantik pakar perunding antarabangsa yang terbaik iaitu Surbana International (HDB Singapore) bagi merekabentuk, membuat perancangan dan pemantauan. Namun, kontraktor yang bakal melaksanakan projek ini akan dilantik melalui tender terbuka di mana keutamaan akan diberikan kepada kontraktor tempatan,” ujarnya di sini baru-baru ini.

Kata Guan Eng, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang dimiliki Kerajaan Negeri merupakan ejen pelaksana yang bertanggungjawab membangunkan projek tersebut.

“Penyelenggaraan juga perlu dilakukan dengan cara yang betul. Kerja-kerja penyelenggaraan akan dijalankan oleh pihak Kerajaan Negeri bagi menjamin hasil yang paling berkualiti di Malaysia,” tambah beliau.

Dalam pada itu, aspek hijau turut diutamakan apabila sungai buatan manusia akan diwujudkan di tengah-tengah kawasan perumahan bagi menimbulkan suasana harmoni walaupun tinggal di kawasan bandar.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P.Ramasamy, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abdul Halim Husain, Yang Di-Pertua (YDP) Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Maimunah Mohd. Sharif, ahli-ahli EXCO Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan.