Generasi muda Kg. Sg. Lembu dapat WiFi percuma

MANSOR Othman (kiri sekali) ceria melihat aksi kanak-kanak generasi muda yang teruja mendapatkan maklumat menerusi internet di Perkampungan Sungai Lembu yang dibekalkan dengan kemudahan WiFi percuma di sini baru-baru ini.
MANSOR Othman (kiri sekali) ceria melihat aksi kanak-kanak generasi muda yang teruja mendapatkan maklumat menerusi internet di Perkampungan Sungai Lembu yang dibekalkan dengan kemudahan WiFi percuma di sini baru-baru ini.

PENANTI – Berhasrat melihat penduduk terutama generasi muda Pulau Pinang celik maklumat, Kerajaan Negeri komited mengusahakan dunia tanpa sempadan iaitu penyediaan WiFi secara percuma.’

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman berkata, penyediaan WiFi percuma itu diharap dapat membantu penduduk Pulau Pinang lebih bermaklumat dan sentiasa bersedia dengan perkara-perkara baru.

“Kita mahu melihat penduduk negeri bergerak seiring dengan ledakan maklumat. Dengan itu, mereka tidak mudah terpedaya dengan khabar angin, sebaliknya, boleh melihat sesuatu isu dalam pelbagai sudut sekali gus menuntut kebijaksanaan mereka dalam menilai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pemasangan WiFi percuma untuk komuniti di Kampung Padang Lembu di sini dan turut menyumbangkan lima komputer dan pencetak bernilai RM5,000.

“Tahniah kepada semua Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kampung Padang Lembu dalam usaha mereka memperkenalkan pentadbiran Kerajaan Negeri yang sentiasa mengutamakan rakyatnya.

“Untuk rekod, Kerajaan Negeri akan terus membantu rakyat Pulau Pinang tanpa mengira kaum. Usaha berkenaan sudah dilakukan sejak 2008 hingga kini. Saya percaya, rakyat Pulau Pinang boleh menilai dan sekali gus mengetepikan segala fitnah pihak tertentu yang cuba memberi gambaran buruk terhadap kita,” ujar beliau.