ZPP sumbang enam van jenazah bernilai lebih RM870,000

SEBERANG JAYA – Zakat Pulau Pinang (ZPP) menyumbang enam buah van jenazah kepada enam masjid di kelima-lima daerah di negeri ini membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM872,280.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata sumbangan tersebut adalah bertujuan untuk melancarkan lagi aspek pengurusan jenazah di masjid-masjid berkaitan.

Sebanyak enam buah van jenazah disumbangkan oleh ZPP kepada enam masjid di negeri ini.
Ahmad Zakiyuddin menyaksikan majlis menandatangi penyerahan sumbangan van jenazah kepada masjid-masjid daerah.
Van jenazah yang disumbangkan.

“Sumbangan ini adalah daripada ZPP dengan perbelanjaan sebanyak RM145,380 bagi sebuah van dan dengan penyerahan ini diharap dapat memudahkan lagi urusan jenazah di masjid-masjid.

“Kita faham bahawa di masjid-masjid ini sudah ada van jenazah masing-masing tetapi mungkin jumlahnya tidak mencukupi.

“Walaupun van jenazah ini diserahkan kepada masjid daerah tetapi boleh juga digunakan oleh masjid-masjid kariah dan surau berdekatan sekiranya diperlukan.

“Justeru, kita ucapkan terima kasih kepada pembayar zakat yang terus komited membayar zakat kepada ZPP dan dan isya-Allah kita akan agihkan (zakat) untuk manfaat umat Islam di seluruh negeri,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti kepada pemberita selepas menyempurkan majlis penyerahan sumbangan tersebut dekat Masjid Daerah Seberang Perai Tengah di sini sebentar tadi.

Sumbangan van jenazah berkenaan diserahkan oleh Ahmad Zakiyuddin kepada pengerusi jawatankuasa kariah masjid bagi Masjid Daerah Seberang Perai Utara, Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Masjid Daerah Barat Daya, Masjid Negeri serta Masjid Abdullah Fahim Kepala Batas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali berkata bahawa sumbangan berkenaan adalah di bawah program agihan zakat Asnaf Fisabilillah untuk semua masjid daerah di seluruh negeri.

“Semua masjid daerah mendapat sebuah van yang mana bukan sahaja digunakan untuk masjid tersebut tetapi juga oleh masjid kariah dan surau di bawah masjid daerah sekiranya berlaku pertindihan atau kematian melebihi seorang atau dua orang.

“Oleh itu, kita harap van jenazah ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh jemaah atau ahli-ahli kariah masjid,” ujarnya ringkas.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR