SOP aktiviti di masjid dan surau dikekalkan – Ahmad Zakiyuddin

SEBERANG JAYA – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) masih mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bagi semua aktiviti di masjid-masjid dan surau walaupun berlaku meningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 mutakhir ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata bahawa sehingga kini JHEAIPP masih belum menerima sebarang arahan daripada pihak berwajib berkaitan keperluan untuk memperketatkan lagi SOP di masjid-masjid.

“SOP yang dikuat kuasakan sekarang kita rasa sudah mencukupi sekiranya dipatuhi sepenuhnya oleh pentadbiran masjid dan orang ramai.

Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menyerahkan sumbangan van jenazah daripada ZPP kepada pengerusi jawatankuasa masjid daerah.

“Jadi buat masa ini belum ada arahan atau perbincangan untuk tujuan ini dan kita masih akan kekalkan SOP Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedia ada termasuk dari segi jumlah kehadiran jemaah di masjid-masjid,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan acara serahan sumbangan van jenazah oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP) kepada masjid-masjid daerah dekat perkarangan Masjid Daerah Seberang Perai dekat sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menjelaskan bahawa setakat ini tiada sebarang kluster yang dilaporkan membabitkan masjid-masjid dan surau di seluruh negeri Pulau Pinang.

“Oleh itu, majlis-majlis berkaitan Ramadan masih lagi boleh dijalankan tertakluk kepada SOP yang sedia ada kerana tidak ada penularan spesifik di masjid-masjid dan surau dilaporkan setakat ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan kes harian COVID-19 terus mencatatkan peningkatan dengan sebanyak 27,831 kes direkodkan semalam.

Daripada jumlah itu, sebanyak 2,42 kes baru direkodkan di negeri Pulau Pinang yang menjadikan kumulatif kes positif adalah 184,496 setakat 16 Februari 2022.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR