127,000 pekerja asing di Pulau Pinang terlibat saringan COVID-19

Admin

GEORGE TOWN – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo memaklumkan bahawa seramai 127,000 pekerja asing dalam pelbagai sektor pekerjaan di negeri ini sedang menjalani ujian saringan COVID-19.

Jelasnya, langkah itu adalah selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan ujian saringan COVID-19 terhadap hampir sejuta pekerja asing secara berperingkat dan bersasar di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang mulai 1 Disember 2020.

“Untuk makluman, kita (Kerajaan Negeri) sedang membuat pemantauan proses saringan yang dilakukan oleh majikan masing-masing ketika ini.

“Bilangan sebenar saya tidak ada tetapi berdasarkan laporan yang kita (Kerajaan Negeri) terima daripada pengendali asrama yang majoritinya adalah pekerja asing, kita dimaklumkan bahawa proses ujian saringan COVID-19 sudah pun hampir selesai.

“Selain itu, kira-kira 3,000 pekerja di salah sebuah asrama pekerja asing di negeri ini telah menjalani ujian saringan dan setakat ini keputusan yang kita terima adalah baik iaitu negatif,” katanya pada sidang media dekat Dewan Bandaraya, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang serta barisan Ahli Majlis MBPP.

Dalam pada itu, Jagdeep mencadangkan agar Kerajaan Pusat membiayai sepenuhnya kos saringan COVID-19 yang dilaksanakan oleh pihak majikan melalui peruntukan tambahan berjumlah kira-kira RM5 bilion dalam pembentangan Bajet 2020 baru-baru ini.

“Kita kena faham bahawa ekonomi sedang terjejas ketika ini yang mana semua sektor pekerjaan sedang mengurangkan jumlah pekerja tetapi pada masa sama majikan masih perlu menghantar pekerja ke klinik atau hospital untuk disaring dan membayar kos ratusan ringgit.

“Justeru, sekiranya kerajaan telah pun memperuntukkan beberapa bilion untuk COVID-19 dalam Bajet 2021, maka kerajaan perlu biayai kos saringan ini kerana itu tanggungjawab Kerajaan Pusat,” tegasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan sebanyak 1.17 juta pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) telah dijalankan oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini sejak Mac 2020 sehingga semalam.

“Di bahagian pulau (MBPP) sebanyak 473,700 pemeriksaan dijalankan dengan kadar pematuhan adalah 99.7 peratus manakala bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pula adalah sebanyak 693,046 pemeriksaan dengan kadar pematuhan 99.37 peratus.

“Sekali lagi saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih dan memberi pengiktirafan kepada semua petugas dan wira barisan hadapan kedua-dua PBT di atas komitmen jitu yang ditunjukkan.

“Bagaimanapun, kita hanya boleh pantau tetapi paling penting adalah pematuhan oleh rakyat. Oleh itu, saya mahu ingatkan rakyat agar sentiasa patuhi SOP seperti memakai pelitup muka, kekalkan jarak fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan diri,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING