Minimum 30 peratus wanita sebagai Ahli Majlis PBT mulai tahun 2021

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus jumlah wanita dilantik sebagai Ahli Majlis bagi kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini mulai tahun depan (2021).

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa keputusan tersebut adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk mengiktiraf perspektif dan peranan wanita dalam pembangunan negeri ini.

“Golongan wanita memainkan peranan penting, jadi kita (Kerajaan Negeri) mahu wujudkan kesaksamaan gender melalui langkah permulaan dengan menetapkan minimum 30 peratus wanita sebagai Ahli Majlis.

“Justeru, kita akan mara ke hadapan dengan memohon kepada semua parti politik terlibat supaya mencalonkan lebih ramai wanita sebagai Ahli Majlis agar kita dapat mencapai objektif dasar keterangkuman gender,” katanya pada sidang media dekat Dewan Bandaraya, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang serta barisan Ahli Majlis MBPP.

Jagdeep berkata, setakat ini kedua-dua PBT di negeri ini mempunyai 20 peratus Ahli Majlis wanita daripada keseluruhan 48 orang Ahli Majlis iaitu lima di bahagian pulau dan empat di bahagian Seberang Perai.

“Daripada 24 Ahli Majlis di bahagian pulau, 10 orang dilantik daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), lapan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), dua orang dari Parti Amanah Negara (Amanah) dan empat lagi daripada NGO.

“Di bahagian Seberang Perai pula, seramai 10 orang Ahli Majlis adalah daripada DAP, PKR (8), Amanah (2) dan tiga orang lagi daripada NGO,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Jagdeep berkata bahawa dalam usaha menjadikan pentadbiran Kerajaan Negeri lebih akauntabiliti dan telus, kuota Ahli Majlis yang ditetapkan untuk anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan diperluaskan.

“Sejak sekian lama kita tetapkan kuota ini hanya untuk dua NGO iaitu Penang Forum dan Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC) sahaja dan mulai tahun depan kita akan dibuka kepada semua (NGO) yang layak.

“Bagaimanapun, keputusan akhir hanya akan dibuat oleh Kerajaan Negeri untuk menetukan calon yang benar-benar layak,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING