Kerajaan Negeri ucap tahniah atas pelantikan Perdana Menteri ke-10

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menzahirkan ucapan syabas dan tahniah atas pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memastikan negeri dan negara terus maju ke hadapan.

“Saya menyambut baik berita bahawa Yang Dipertuan Agong telah berkenan melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 setelah lima hari seluruh negara menantikan sebuah kerajaan dibentuk.

“Seperti semua sedia maklum, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyebabkan Parlimen tergantung yang memerlukan kebijaksanaan semua pihak untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan.

“Saya percaya keputusan ini (pelantikan Anwar) akan disambut baik oleh kebanyakan rakyat negara ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dekat Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini sebentar tadi.

Kon Yeow berkata bahawa beliau juga percaya bahawa Anwar mampu memantapkan lagi pentadbiran negara selain berupaya menggembleng sokongan serta kepercayaan seluruh rakyat di negara ini.

“Saya percaya Datuk Seri Anwar ada rancangan beliau sendiri untuk membentuk pentadbiran yang mantap kerana inilah tujuan PRU… iaitu untuk membuka lembaran dan sejarah baharu bagi membolehkan Malaysia terus melangkah ke hadapan,” ujarnya.

Terdahulu, Yang Dipertuan Agong berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 402(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan itu dibuat selepas perbincangan Khas Raja-Raja Melayu telah diadakan hari ini di Istana Negara sebagai usaha Yang Dipertuan Agong merungkai kemelut pembentukan kerajaan.

PRU15 yang berlangsung pada 19 November lalu menyebabkan Parlimen tergantung apabila PH memenangi 82 kerusi dengan memperoleh undi popular terbanyak iaitu 5,823,931 undi (37.97 peratus) daripada jumlah keseluruhan 15,442,007 undi.

Ini diikuti oleh Perikatan Nasional (PN) yang mendapat 4,667,429 undi (30.24 peratus), Barisan Nasional (BN) 3,433,369 undi (22.42 peratus), Gabungan Parti Sawarak (GPS) 644,202 (4.2 peratus) dan selebihnya lain-lain parti.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI