15 pusat rekreasi awam dibuka kepada penduduk Seberang Perai dalam radius 10 km

Admin
SOON Lip Chee (kiri) diiringi Sr. Rozali Mohamud turut memantau kawasan laluan bertangga yang dilitupi rimbunan pokok di puncak Bukit DO pada pagi tadi, supaya selamat untuk pengunjung menjalankan aktiviti mandi rimba mengikut SOP berkaitan di sini.

PADANG LALANG – Sejak 7 Julai lepas, sejumlah 15 pusat rekreasi awam sekitar bahagian Seberang Perai dibenarkan buka kepada penduduk setempat dalam radius 10 kilometer (km) dengan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan, sejajar status Pulau Pinang yang telah berpindah pada fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Semasa mengadakan operasi pemantauan di Bukit DO pada pagi ini, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee meminta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) supaya membuat pembersihan tangga yang berlumut demi memastikan ia selamat untuk kegunaan pengunjung di sini.

GAMBAR seorang pengunjung sedang membuat pemeriksaan suhu badan dan imbas kod QR sebelum masuk ke kawasan utama Taman Rekreasi Bukit DO di sini.
SR. Rozali Mohamud (berkopiah putih) diiringi seorang pegawai MBSP lain menunjukkan antara kawasan tangga yang berlumut serta berisiko licin untuk kerja-kerja penyelenggaraan lanjut di Bukit DO.

“Sebagaimana dijanjikan, pada pagi ini, saya dan Datuk Bandar MBSP (Dato’ Sr. Rozali Mohamud) membuat rondaan di kawasan-kawasan rekreasi supaya dijamin selamat daripada segi keselamatan awam dan keselamatan kesihatan.

“Sejak 1 Jun lalu selama lima minggu berturut-turut kesemua pusat rekreasi awam ditutup, maka ada tangga yang berlumut dan licin.

“Jadi, saya telah meminta pihak MBSP membersihkan kawasan berlumut supaya tangga-tangga ini tidak licin lagi,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal pada 9 Julai 2021.

SIDANG media ringkas Soon Lip Chee (depan, dua dari kiri) dan Sr. Rozali Mohamud (depan, kiri sekali) turut disertai Chong Eng (depan, kanan sekali) serta tiga Ahli Majlis MBSP lain di puncak Bukit DO di sini pada awal pagi tadi.

Sebelum pada itu, Rozali menjelaskan bahawa ketika ini sebanyak 15 pusat rekreasi awam di ketiga-tiga Daerah Seberang Perai dibenarkan buka untuk penduduk setempat dalam radius 10 km.

“Walaupun pusat-pusat rekreasi ini dibuka tetapi kemudahan kelengkapan gimnasium terbuka masih tidak dibenarkan untuk elak (risiko) kontak sesama pengunjung.

“Di samping itu, hanya lima pusat rekreasi awam masih tidak dibenarkan bukan, contohnya Vision Park (dekat Kepala Batas) kerana jauh dari kawasan penempatan penduduk, begitu juga Taman Rekreasi Ampang Jajar kerana susah dikawal (aktiviti pengunjung di kawasan berkenaan),” jelasnya sambil memohon semua pihak membuat imbasan kod QR dan pemeriksaan suhu badan terlebih dahulu sebelum masuk ke kawasan rekreasi awam.

ANTARA kemudahan peralatan senaman terbuka di Bukit DO yang dilarang akses kepada sekalian pengunjung ketika ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Rozali memberitahu di Bukit DO terdapat 600 pokok asal seperti hutan dara yang mana kira-kira 300 daripadanya telahpun diinventori oleh MBSP untuk tujuan pemeliharaan dan pemuliharaan alam semulajadi.

Justeru, beliau berharap para pengunjung yang melakukan aktiviti mendaki bukit di sini tidak melakukan aktiviti vandalisme seperti menoreh batang pokok atau mematahkan ranting dan sebagainya.

“Saya harap pokok-pokok seperti dalam hutan dara ini tidak dirosakkan oleh mana-mana pihak,” jelasnya lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD