Kawasan rekreasi seliaan PBAPP dibuka semula 10 Julai

Admin

AIR ITAM – Kawasan rekreasi di bawah seliaan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan dibuka kepada kepada orang ramai mulai 10 Julai 2021 (Sabtu).

 

 

Menurut Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee, pembukaan tersebut adalah selaras dengan kejayaan Pulau Pinang beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 7 Julai lalu.

 

“Sebahagian taman-taman awam dan rekreasi kini telah dibuka semula kepada masyarakat.

 

 

“Taman-taman yang dibuka termasuklah bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Taman Botani Pulau Pinang.

 

 

“Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang pada 8 Jun 2021 turut mempersetujui untuk membenarkan pembukaan Empangan Ait Itam, Empangan Teluk Bahang, Empangan Mengkuang dan Taman Rekreasi Bukit Dumbar di bawah seliaan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mulai 10 Julai ini,” ujar beliau ketika mengadakan lawatan ke Empangan Air Itam pagi ini.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Air Itam, Joseph Ng Soon Siang dan Ketua Pegawai Ekskutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa.

 

 

Mengulas lanjut Lip Chee memaklumkan operasi rekreasi di empangan-empangan berkenaan dibuka dari 7 pagi hingga 7 malam.

 

 

“Pengunjung diingatkan agar sentiasa mengamalkan jarak selamat dua hingga tiga meter serta melakukan aktiviti dalam lingkungan 10kilometer dari kediaman seiring dengan prosedur operasi standard (SOP) PPN fasa dua.

 

 

“Selain itu, pengunjung Empangan Air Itam, Empangan Teluk Bahang dan Taman Rekreasi Bukit Dumbar dihadkan kepada 200 orang manakala Empangan Mengkuang 350 orang dalam satu-satu masa,” katanya lagi.

 

 

Jaseni ketika bercakap kepada pemberita memaklumkan kapasiti tiga empangan utama Pulau Pinang tahun ini berada pada tahap lebih baik berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD