150 murid SJKT terima bantuan persekolahan

Admin

JAWI  – Seramai 150 murid terpilih daripada lima buah sekolah sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi menerima sumbangan bantuan persekolahan berupa baucar tunai yang ditaja oleh NationGate (M) Sdn. Bhd..

 

Sumbangan bernilai RM50 setiap seorang itu merupakan sebahagian program kemasyarakatan yang dijayakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, H’ng Mooi Lye.

 

Ketika dihubungi, Mooi Lye berkata, program tersebut bertujuan memberi galakan dan semangat kepada golongan kurang bernasib baik untuk belajar dengan lebih tekun.

 

“Murid-murid ini dikenal pasti dan mereka yang layak sahaja dipilih untuk menerima sumbangan.

 

“Saya berharap sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat membantu persiapan persekolahan murid-murid ini,” katanya yang dihubungi melalui panggilan telefon.

H’NG Mooi Lye (depan, berkemeja putih) turut mengedarkan kalendar tahun baharu kepada murid-murid dan guru dekat sini baru-baru ini.

Difahamkan, baucar tersebut boleh ditunaikan di kedai terpilih di Nibong Tebal untuk membeli sama ada pakaian seragam sekolah, kasut, sarung kaki atau beg sekolah mengikut keperluan masing-masing.

 

Lima sekolah terpilih adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Changkat, SJKT Ladang Byram, SJKT Ladang Krian, SJKT Ladang Jawi dan SJKR Nibong Tebal.