Ayuh meriahkan ‘Orange Gigs’ 24 November ini, bersama-sama hentikan gangguan seksual terhadap wanita, seru Syerleena

GEORGE TOWN – Pelbagai acara menarik bakal diadakan sempena Kempen Penang Goes Orange (PGO) 2018 yang akan diluncurkan secara rasmi pada 24 November 2018 ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid berkata, tahun ini, Kempen PGO 2018 memfokuskan isu gangguan seksual dan jenayah keganasan domestik terhadap wanita.

Tahun ini, mesej yang akan dibawakan adalah ‘Stop Sexual Harassment‘ (Hentikan Gangguan Seksual) yang memfokuskan untuk memupuk kesedaran dan mengelakkan gangguan seksual di mana-mana sahaja,” ujarnya melalui suatu kenyataan media pada 19 November lalu.

Menurut Syerleena, sehingga kini, kes keganasan dan gangguan seksual yang dilaporkan amat menakutkan, namun, beliau percaya masih terdapat kes-kes yang tidak dilaporkan kerana stigma sosial dan persepsi masyarakat sekeliling.

Ada dalam kalangan mangsa yang malu, takut akan akibat apabila memaklumkan gangguan yang diterima, merasakan diri tidak berdaya dan hina.

Malah, turut dilaporkan, di Pulau Pinang sahaja kira-kira 76,000 wanita sama ada pernah mengalami atau berisiko terdedah kepada gangguan seksual di tempat kerja. 

Jadi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah MMK Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) akan meneruskan kempen ini bagi memastikan hak-hak dan kesejahteraan wanita terus terpelihara.

“Kita perlu pastikan tahap kesedaran masyarakat terhadap gangguan seksual ini perlu dipertingkat secara berterusan dan diperluaskan,” katanya.

SYERLEENA Abdul Rashid.

Tambah Syerleena lagi, bagi tahun 2018 ini, beliau akan mengguna pakai kaedah yang berbeza dalam penyampaian maklumat berhubung gangguan seksual ini yang sekaligus dilihat mampu memupuk kesedaran umum.

Kita (Kerajaan Negeri dan PWDC) bersama-sama Lokalhauz, Penang Arts District dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), akan menganjurkan ‘Orange Gigs’ bertempat di Udini Square pada 24 November ini bermula jam 2:00 petang.

Selain persembahan muzik, bengkel kesenian dan sesi perbincangan awam berhubung isu ini turut akan diadakan nanti,” jelasnya.

Difahamkan, selain mengumpul warga Pulau Pinang yang mempunyai bakat dan kreativiti, penganjuran ‘Orange Gigs‘ ini juga akan memberi lebih inspirasi kepada golongan belia khasnya wanita muda untuk bersama-sama menyebarkan kesedaran mengenai gangguan seksual.

“Ayuh, jangan lepaskan peluang turut serta dalam ‘Orange Gigs‘ pada 24 November 2018, Sabtu di Udini Square… bersama-sama kita bersatu hentikan gangguan seksual terhadap wanita,” serunya.