151.62 tan metrik sisa kitar semula berjaya dikumpul sempena Kempen Kitar Semula anjuran MBPP dan F&N

Admin

GEORGE TOWN – Sebanyak 151.62 tan metrik bahan kitar semula berjaya dikumpul sempena Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah anjuran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan syarikat Fraser & Neave (F&N) Holdings Bhd. dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang serta Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd..

Jumlah tersebut direalisasikan melalui penglibatan 109 buah sekolah iaitu 37 prasekolah, sekolah rendah (49) dan sekolah menengah (23), mengambil bahagian dalam program yang memasuki edisi ketujuh pada tahun ini.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, pertandingan tersebut bertujuan untuk mendidik dengan menerapkan falsafah 5R iaitu, Reduce (Kurangkan), Reuse (Guna Semula), Recycle (Kitar Semula), Rethink (Fikir Semula) dan Reinvent (Cipta Semula) dalam kalangan pelajar di negeri ini.

Malah katanya, amalan kitar semula merupakan peringkat yang sangat penting dan kritikal dalam mencapai matlamat keberkesanan dari segi pengurusan dan pengurangan sisa pepejal pada masa hadapan.

“Usaha murni warga sekolah berjaya menghasilkan peningkatan sebanyak 7.12 tan metrik bahan kitar semula berbanding 144.50 tan metrik yang berjaya dikumpul pada tahun lepas.

“Keberkesanan program sebegini dalam semua jenis sisa dan peringkat masyarakat dapat menjimatkan kos pengurusan sisa pepejal dan meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan sampah,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadian Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah 2018, di sini sebentar tadi.

Berucap sebelum itu, Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N, Cariesa Goh menyatakan bahawa pihaknya komited untuk menggalakkan amalan kitar semula dalam kalangan anak-anak muda supaya mereka mencintai dan menghormati alam sekitar pada masa akan datang.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap ADUN Sungai Puyu, Phee Boon Poh; Ahli-Ahli Majlis bagi MBPP; Ketua Sektor Pengurusan Kemanusiaan JPNPP, Ismail Said; Pengurus Ekonomi Serantau Asia Selatan, Asia Timur dan Oceania, Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd., Terrynz Tan, guru-guru serta para pelajar.

Difahamkan, pertandingan yang berlangsung sejak 1 Januari 2018 hingga 30 September lalu terbahagi kepada tiga kategori iaitu, prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Sekolah Kebangsaan (SK) Balik Pulau menjadi juara bertahan bagi kategori prasekolah dengan kutipan 64.7 kilogram (kg). Manakala Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Sin Min dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Pulau Tikus masing-masing mengungguli kategori sekolah rendah dan menengah.

Empat anugerah khas juga disampaikan kepada sekolah-sekolah yang mengumpul aluminium, plastik, e-sampah, dan kotak minuman paling banyak.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS