1,554 pelajar baharu terima Biasiswa Kecil Negeri, babit peruntukan RM1.04 juta

Admin

SEBERANG JAYA – Seramai 1,554 pelajar baharu dari 121 sekolah di seluruh negeri Pulau Pinang terpilih menerima Biasiswa Kecil Negeri (BKN) Negeri Pulau Pinang bagi tahun ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pemberian inisiatif tersebut adalah membabitkan peruntukan kewangan Kerajaan Negeri berjumlah RM1,040,670.

“Biasiswa ini diberikan kepada pelajar tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang politik, selaras dengan Visi Penang2030 yang menekankan kesejahteraan serta kebajikan rakyat dalam segenap lapisan masyarakat.

“Oleh itu, adalah diharapkan pemberian biasiswa ini dapat meringankan beban kewangan dihadapi ibu bapa para pelajar terutamanya mereka yang kurang berkemampuan.

“Selain itu, ia juga diharap dapat memberi motivasi dan perangsang kepada para pelajar dalam meningkatkan lagi mutu pembelajaran,” katanya semasa berucap pada Majlis Penghargaan Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang Tahun 2022 dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah; Penolong Pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Suhaizi Senai; wakil-wakil Jabatan Pendidikan Negeri serta barisan guru.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa sejak diperkenalkan pada tahun 2008, sebanyak RM29.5 juta telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi tujuan tersebut yang memanfaatkan seramai 14,754 pelajar di negeri ini.

“Mulai tahun 2021, Kerajaan Negeri telah meningkatkan peruntukan Tabung BKN dari RM2 juta kepada RM3 juta setahun.

“Ini adalah bertujuan untuk memberi peluang lebih ramai kepada pelajar sekolah menengah yang cemerlang dalam pencapaian akademik serta dari keluarga berpendapatan rendah untuk diberikan biasiswa kecil ini,” ulasnya lanjut.

Difahamkan, jumlah pemberian biasiswa kecil adalah sebanyak RM600 kepada pelajar sekolah menengah rendah manakala pelajar menengah atas (RM840).

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini telah menaikkan kadar bayaran BKN sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2009 dan 2013.

Kenaikan kali pertama adalah melibatkan peningkatan sebanyak 100 peratus iaitu daripada RM240 kepada RM480 bagi pelajar menengah rendah dan RM360 kepada RM760 kepada pelajar menengah atas.

Manakala kenaikan kali kedua pula adalah sebanyak RM120 bagi setiap kategori menjadikan kadar baru BKN kini adalah RM600 bagi pelajar menengah rendah dan pelajar menengah atas (RM840).

Pecahan penerima BKN bagi tahun 2022 adalah seperti berikut :
• Daerah Timur Laut: 362 pelajar dari 34 sekolah dengan peruntukan RM255,150.
• Daerah Barat Daya: 231 pelajar dari 12 sekolah dengan peruntukan RM154,680.
• Daerah Seberang Perai Utara: 369 pelajar dari 28 sekolah dengan peruntukan RM240,000.
• Daerah Seberang Perai Tengah: 366 pelajar dari 30 sekolah dengan peruntukan RM247,320.
• Daerah Seberang Perai Selatan: 226 pelajar dari 17 sekolah dengan peruntukan RM143,520.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS