16 MPKK terpilih Seberang Perai ‘berkampung’ cari solusi isu lokal, manfaatkan geran transformasi Penang2030

Admin
untitled (2 of 47) SUASANA semasa berlangsungnya fasa kedua Program Inisiatif Geran Transformasi Komuniti Pulau Pinang di bawah Aspirasi Penang2030 di Hotel Vangohh Eminent di sini pada 21 Jun 2026.

MACHANG BUBUK – Sebanyak 16 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) terpilih sekitar Seberang Perai ‘berkampung’ selama sehari bagi menjayakan fasa kedua Program Inisiatif Geran Transformasi Komuniti Pulau Pinang di bawah Aspirasi Penang2030 di Hotel Vangohh Eminent di sini pada 21 Jun 2026.

Lebih menarik, bengkel interaktif susulan yang dianjurkan di bawah Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP) itu turut menerima kehadiran khas daripada wakil MPKK Simpang Ampat dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Teluk Bahang.

untitled (33 of 47)
GOH Choon Aik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun menyampaikan ucapan perasmian bengkel berkaitan di sini pada tengah hari tadi.

Semasa merasmikan acara tersebut, Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik berkata bahawa pihaknya berharap bengkel itu mencapai tujuan penganjuran iaitu memperkukuh jaringan komunikasi serta menjadi platform dua hala bagi membincangkan isu-isu lokaliti yang melibatkan kesejahteraan komuniti setempat.

“Sepanjang sesi perbincangan berjalan, pelbagai cadangan membina serta permasalahan berbangkit telah dikemukakan secara telus oleh wakil-wakil MPKK yang hadir.

“Antara isu utama yang diutarakan termasuklah masalah banjir kilat di beberapa kawasan tertentu, selain cadangan mewujudkan taman rekreasi dan kawasan riadah yang inklusif untuk kegunaan kanak-kanak, golongan remaja serta warga emas,” ujarnya.

untitled (36 of 47)
K. Vishanthini turut menyertai sesi bengkel dua hala yang berlangsung di sini sejak pagi tadi.

Setiausaha BKP, Dr. K. Vishanthini; Ketua Unit Penang2030 di Pejabat Ketua Menteri, Teh Yee Teng; Pengarah Think City, Dato’ Hamdan Abdul Majeed; Pengarah Kanan Program Think City, Dr. Matt Benson; Pengarah Teknikal Think City, Stuart MacDonald; Pengarah Operasi Penang Institute, Ong Siou Woon; dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Anuar Yussof antara yang hadir dalam bengkel dua hala tersebut.

Ditanya lanjut berkaitan syor mewujudkan sebuah pusat jagaan warga emas di Komtar dekat George Town bagi menangani isu masyarakat menua yang dibincangkan dalam fasa pertama bengkel sebelum ini, Buletin Mutiara dimaklumkan Pejabat Exco berkenaan telahpun mengambil maklum untuk tindakan susulan.

Terdahulu, pada 14 Jun lepas, sejumlah 13 MPKK terpilih dari bahagian Pulau menyertai sesi sulung Bengkel Pelaksanaan Inisiatif Geran Transformasi Komuniti Pulau Pinang di bawah Aspirasi Penang2030 di salah sebuah hotel dekat Tanjung Bunga.

Keperluan program dan kemudahan untuk warga emas di kawasan Komtar bagi menangani cabaran masyarakat menua merupakan antara tiga isu pokok yang dibincangkan dalam bengkel sulung tersebut.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB