Festival Seni Budaya Batu Kawan semarak perpaduan sejak usia muda

Admin
img 20260621 wa0019

BUKIT TAMBUN – Perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum tidak seharusnya sekadar menjadi slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui amalan harian dan dipupuk sejak usia muda menerusi sistem pendidikan.

 

Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Seni Budaya Batu Kawan 2026 yang berlangsung di Design Village Penang Outlet Mall sempena sambutan Minggu Perpaduan baru-baru ini.

 

img 20260621 wa0031
GOH Choon Aik.

 

Menurut beliau, institusi sekolah merupakan platform terbaik untuk membentuk kefahaman, sikap saling menghormati dan semangat kebersamaan dalam kalangan generasi muda.

 

“Penganjuran festival yang melibatkan penyertaan 12 buah sekolah dari pelbagai aliran di sekitar Parlimen Batu Kawan ini membuktikan bahawa usaha memperkukuh perpaduan perlu bermula melalui pendidikan dan penglibatan aktif golongan muda.

 

“Persembahan seni seperti muzik, tarian, drama dan kebudayaan pelbagai kaum bukan sekadar hiburan, tetapi merupakan jambatan penting yang mampu menghubungkan masyarakat.

 

“Melalui interaksi budaya sebegini, kita dapat meningkatkan kefahaman, mengukuhkan rasa hormat antara satu sama lain serta mengurangkan jurang perbezaan antara kaum,” ujarnya.

 

img 20260621 wa0017

 

Mengulas lanjut, Choon Aik berkata bahawa program perpaduan tidak semestinya dianjurkan di dalam dewan atau kawasan sekolah semata-mata, malah penggunaan ruang awam terbuka dapat mendekatkan mesej keharmonian kepada masyarakat dengan lebih berkesan.

 

“Apabila program kebudayaan diadakan di kawasan terbuka seperti pusat komuniti atau lokasi tumpuan orang ramai, lebih ramai rakyat berpeluang mengenali budaya kaum lain dalam suasana yang santai dan mesra.

 

“Pendekatan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara komuniti, malah membantu memupuk rasa saling menghargai serta memperkukuh keharmonian masyarakat,” katanya.

 

img 20260621 wa0020

 

Pada masa sama, beliau turut menggalakkan lebih banyak agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat memanfaatkan ruang awam bagi menganjurkan program yang mampu menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

 

Festival yang berlangsung dari jam 12 tengah hari hingga 9.30 malam itu menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan termasuk tarian tradisional, silat, wushu, tarian singa, nyanyian pelbagai bahasa serta persembahan seni oleh pelajar sekolah dan komuniti tempatan.

 

img 20260621 wa0027

 

Program berkenaan dianjurkan menerusi kerjasama Pejabat Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Negeri Pulau Pinang; Pusat Khidmat Parlimen Batu Kawan; Pusat Khidmat ADUN Bukit Tambun; Persatuan Penggerak Generasi Muda Pulau Pinang; Persatuan Kebajikan Komuniti Negeri Pulau Pinang; Biro Perhubungan Awam Dewan Perhimpunan Cina Negeri Pulau Pinang Parlimen Batu Kawan; Design Village serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

 

img 20260621 wa0029

img 20260621 wa0032

Gambar: ADUN