16 premis Old Town White Coffee dapat Sijil Halal

Admin
ABDUL Malik Abul Kassim (kanan sekali) menyampaikan Sijil Halal kepada wakil salah sebuah rangkaian premis Restoran Old Town White Coffee di sini baru-baru ini.
ABDUL Malik Abul Kassim (kanan sekali) menyampaikan Sijil Halal kepada wakil salah sebuah rangkaian premis Restoran Old Town White Coffee di sini baru-baru ini.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

BAYAN BARUSebanyak 16 rangkaian premis Old Town White Coffee yang bertapak di negeri ini memperoleh Sijil Halal di sini baru-baru ini.

Dengan pengiktirafan tersebut, bermakna sebanyak 86 premis daripada jumlah keseluruhan 191 buah premis Old Town White Coffee telah memperoleh Sijil Halal di seluruh negara.

Menurut Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, halal yang dimaksudkan bukan sahaja bermakna sembelihan seperti difahami sesetengah pihak sematamata, tetapi juga aspek kebersihan serta bahan-bahan yang digunakan dalam penghasilan makanan.

“Terbaru, rangkaian restoran Subway seluruh Pulau Pinang telah menerima sijil halal pada Jun lalu, begitu juga restoran nasi kandar, Restoran Nasmir.

“Beberapa restoran seperti Restoran Subaidah, Restoran Deen Baru, dan Nasi Kandar Zamrud masih dalam proses permohonan,” ujar Abdul Malik pada Majlis Penyampaian Sijil Halal Kepada 16 Rangkaian Premis Old Town White Coffee di sini baru-baru ini.

Beliau memberitahu, Kerajaan Negeri menitikberatkan status halal bermula dari penyediaan, penyimpanan, pengangkutan, operasi, dan kualiti makanan.

“Malah, penguatkuasaan melibatkan tiga agensi iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Penggunaan dari semasa ke semasa turut memartabatkan status halal diterima ke tahap yang lebih ketat, selamat serta diyakini,” ujar beliau.

Kata Abdul Malik, industry halal pada masa kini kian mendapat sambutan dan merupakan cabang industri baru.

“Lanjutan itu, Kerajaan Pulau Pinang sedang bergerak agresif ke arah itu. Ini adalah bagi menggiatkan sektor ekonomi selain meningkatkan keyakinan orang ramai terutamanya yang beragama Islam berhubung premis pemakanan di negeri ini,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Kumpulan Restoran Old Town White Coffee, Datuk Tasir Lope Pihie yang turut hadir pada hari penyampaian tersebut menyatakan bahawa pihaknya mengambil tempoh masa tiga bulan untuk mengemaskini serta menyediakan segala dokumentasi, kualiti penyediaan, pengangkutan penyimpanan dan sebagainya bagi memperoleh pengiktirafan berkenaan.