Pasar Awam Jelutong siap dinaiktaraf

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

JELUTONGPasar Awam Jelutong merupakan pasar awam ke-5 yang siap dan selesai dinaiktaraf Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) berdasarkan permintaan serta keperluan para peniaga selaras dengan dasar Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) Kerajaan Negeri yang mengutamakan keperluan rakyat.

Sebelum ini, Pasar Batu Maung, Pasar Ayer Itam, Pasar Lebuh Cecil dan Pasar Pulau Tikus merupakan pasar awam yang telah siap dinaiktaraf.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, projek menaiktaraf Pasar Awam Jelutong menelan belanja sebanyak RM810,370 membabitkan pertambahan tujuh gerai berbanding 86 yang asal.

“Antara bahagian yang dinaiktaraf adalah seperti lantai, pagar dan perparitan di perkarangan luar pasar. Bumbung pasar juga telah digantikan dengan bumbung telus cahaya supaya keadaan dalam kelihatan lebih ceria dan terang di samping penjimatan tenaga hijau,’’ ujarnya ketika merasmikan projek naiktaraf Pasar Awam Jelutong di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow, Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan, Danny Law Heng Kiang, Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun, Yang Dipertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail dan Setiausaha Perbandaran MPPP, Ir. Ang Aing Thye.

Guan Eng menegaskan bahawa inisiatif tersebut merupakan julung kali pasar-pasar awam dinaiktaraf secara keseluruhan berbanding dahulu yang hanya dibaiki.

PERBANDINGAN gambar yang menunjukkan keadaan Pasar Awam Jelutong lama dan yang siap dinaiktaraf.
PERBANDINGAN gambar yang menunjukkan keadaan Pasar Awam Jelutong lama dan yang siap dinaiktaraf.

Dalam pada itu, beliau menyeru supaya semua pihak dapat menjaga Pasar Awam Jelutong yang berusia lebih 40 tahun dengan lebih baik agar ianya hijau, bersih dan selamat.