16 terima bantuan biasiswa, Pulau Pinang hasrat perkenal Penang Junior Coaches pula

Admin
PARA penerima Bantuan Biasiswa PACE merakamkan gambar kenangan bersama-sama Ketua Menteri (tengah) di sini pada lewat petang ini.

GEORGE TOWN – Seramai 16 atlet sukan negeri menerima bantuan biasiswa menerusi program Penang Athlete Career Education (PACE) Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) dengan jumlah peruntukan sejumlah RM66,100.

KETUA Menteri semasa menyampaikan ucapan pada majlis yang berlangsung di The Wembley – St. Giles Hotel di sini pada petang ini.

Mengulas lanjut, Ketua, Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa para penerima merupakan kumpulan pertama yang akan menerima bantuan berkenaan memandangkan program berkaitan baru dilancarkan pada tahun ini.

“Dalam usaha untuk membina landasan kerjaya yang progresif untuk atlet negeri, suka untuk saya umumkan bahawa satu program baru di bawah PACE turut akan diperkenalkan iaitu program Penang Junior Coaches dengan tujuan untuk memperkenalkan diri mereka dalam bidang kejurulatihan sebagai suatu landasan kerjaya di sekolah-sekolah rendah buat peringkat permulaan program ini,” jelasnya dalam Majlis Penyerahan Insentif Pendidikan Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Biasiswa Sukan MSNPP di sini pada 26 April 2021.

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal; Pengarah Eksekutif Penang FC Sdn. Bhd., Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah yang juga ADUN Sungai Bakap; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Mozakir Buyong Mokhtar dan Pengarah MSNPP, Harry Chai Heng Hua.

Selain itu, beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa kaji selidik MSNPP mendapati 145 sekolah rendah telah memberi maklum balas berkaitan program baharu Penang Junior Coaches, dan daripada jumlah itu sejumlah 81 sekolah rendah telahpun memohon bantuan kejurulatihan tersebut.

“Selain daripada kedua-dua bantuan ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui program PACE juga akan menyokong penuh usaha untuk mewujudkan Bantuan Skim Kebajikan Atlet Negari (SKAN) khas untuk menjaga kebajikan atlet-atlet negeri melalui insiatif Bantuan Khairat Kematian, Bantuan Rawatan Penyakit, Bantuan Kos Pembedahan serta Bantuan Bencana Alam secara ‘one-off’,” ulasnya.

Tambah Kon Yeow, pada 18 Disember tahun lepas, seramai enam atlet negeri terpilih sebagai perintis bagi menerima Bantuan Pendidikan di bawah PACE.

Angka penerima bantuan pendidikan semasa itu, kata beliau, menjadi jumlah atlet yang memohon serta berjaya memperoleh bantuan berkaitan meningkat seramai 24 orang merangkumi atlet sukan skuasy, floorball, kenu, hoki, olahraga, bola jaring, tenping boling, silat, sepak takraw dan karate dengan keseluruhan insentif sejumlah RM22,200.

“Saya amat yakin dan percaya angka ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : DARWINA MOHD. DAUD