1,650 pek makanan telah diedar di KADUN Padang Kota, kata pegawai Kon Yeow

Admin

PADANG KOTA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong pada petang tadi mengagihkan 13 lagi pek barangan makanan keperluan asas kepada penerima terpilih dalam senarai sedia ada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan skim bantuan Agenda Ekonomi Saksama (AES) di Jalan Buckingham dekat sini.

Menurut Dr. Tan Kim Hooi iaitu Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Tanjong berkenaan, sehingga kini, sebanyak 1,650 pek barangan makanan telah diagihkan kepada penduduk tempatan yang layak dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota.

“Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, di kawasan ini juga, YAB Chow (Kon Yeow) mengagihkan pek ini secara berperingkat, boleh dikatakan tiap-tiap minggu.

“Program seterusnya adalah pada minggu hadapan, di rumah pangsa Jalan Kedah, melibatkan 300 pek lagi kepada insan terpilih di sana nanti,” jelasnya pada majlis yang dilangsungkan berhampiran Masjid Kapitan Keling tadi.

Turut serta, beberapa kakitangan Pusat Khidmat Rakyat ADUN Padang Kota dan Ahli Parlimen Tanjong serta beberapa anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Lebuh Chulia.

Mengulas lanjut, Kim Hooi memberitahu bahawa 1,650 pek yang telah diagihkan sebelum ini adalah meliputi penduduk terpilih di Little India, Lebuh Chulia dan Lebuh Ah Quee.

Tambah beliau, sila hubungi nombor telefon 012-4837855 sekiranya tercicir daripada senarai penerima bantuan sedia ada, ketika fasa empat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 4), kini.

Bercakap pada majlis sama, Presiden Gabungan Persatuan India Muslim Pulau Pinang (GAPIEM), Dr. Ameenul Hussaini Abdul Kader memuji program-program kebajikan yang dilaksanakan oleh pentadbiran Kon Yeow, ketika PKP ini.

“Ketika krisis melawan COVID-19 ini, kita dapat melihat peri penting kebersamaan.

“Kita perlu bergerak atas semangat persaudaraan sesama manusia dan saling membantu,” ujarnya.

Pada majlis sama, Ameenul Hussaini turut mengiringi Kon Yeow mengagihkan pelitup muka kepada penduduk setempat, sebagai kempen bersama-sama demi memutuskan semua rantaian perebakan wabak COVID-19 secepat mungkin di negeri ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD