Pasca COVID-19, tumpuan kepada pelancongan domestik

Admin

TELUK BAHANG – Kerajaan Negeri akan menumpukan kepada sektor industri pelancongan domestik apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan sepenuhnya kelak.

Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada lawatan di dua lokasi pelancongan terkemuka Pulau Pinang iaitu taman rama-rama, Entopia dan Taman Tema Escape (Escape) di sini petang tadi.

“Usaha ini adalah selari dengan pendekatan Exco Pelancongan Seni, Budaya dan Warisan, Saudara Yeoh Soon Hin untuk mendengar pandangan pihak berkepentingan (pelancongan) dan seterusnya merangka strategi untuk menarik serta memberi tumpuan terhadap pelancongan domestik setelah PKP ditarik balik kelak.

“Justeru, Kerajaan Negeri komited memberi sokongan dan bersama-sama dengan para pengusaha dalam usaha pemulihan ekonomi dalam tempoh tersebut yang mana kita (Kerajaan Negeri) akan tangani perkara ini pada sesegera mungkin,” ujarnya merangkap Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi pada sesi lawatan berkaitan petang tadi.

Turut hadir, Soon Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Zolkifly Md. Lazim; Ketua Pegawai Eksekutif Escape, Sim Choo Kheng; Ketua Pegawai Eksekutif Entopia, Joseph Goh dan Ketua Pegawai Operasi Entopia, Chin Boon Tat.

Semangat gigih dua pengusaha pusat pelancongan berkaitan untuk kembali bangkit akibat impak pandemik COVID-19 mendapat pujian Kon Yeow.

“Kedua-dua pengusaha walaupun menerima impak daripada COVID-19, tetapi mereka menunjukkan semangat yang gigih untuk memulihkan semula keadaan termasuk membuat perancangan baharu berhubung projek-projek yang bakal dilaksanakan selepas ini.

“Ekoran terkesan dengan sifar kedatangan pelancong, secara tidak langsung daripada segi pendapatan, pihak-pihak tersebut adalah terkesan serta terjejas, namun komitmen mereka terhadap kakitangan masing-masing adalah tidak berubah.

“Bagaimanapun, situasi ini tidak boleh berlanjutan kerana sebagaimana sektor ekonomi lain, krisis ini perlu dipulihkan,’’ jelas beliau.

Pada lawatan di Entopia, Joseph dan Boon Tat membentangkan impak yang diterima pihaknya akibat pandemik COVID-19 serta cadangan pelan pemulihan membabitkan inisiatif tambahan daripada Kerajaan Negeri antaranya meliputi geran, syarat pelesenan, promosi, kadar sewa, subsidi dan lain-lain yang berkaitan.

Sementara itu, Choo Kheng membentangkan idea pihaknya untuk ‘menghidupkan’ semula industri pelancongan melalui pembinaan kereta kabel sejauh enam kilometer menghubungkan Teluk Bahang dan Bukit Bendera yang mana ia dilihat mampu menjenamakan semula Batu Feringghi serta sektor perhotelan kelak.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

Video : ALVIE CHENG