180 JKKK hadiri bengkel pemantapan Seberang Perai

Admin

KEPALA BATAS – Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman menyatakan bahawa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan terutama mengenai dasar-dasar yang dirancang dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada penganjuran Bengkel Pemantapan dan Pengukuhan Pentadbiran JKKK bagi peringkat Seberang Perai. Turut hadir adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Lim Hock Seng dan pegawai-pegawai penyelaras kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seberang Perai yang dijemput khas.

Dalam pada itu, Pengarah Bengkel tersebut, Hafizi Mohamad, berkata, JKKK perlu memainkan peranan mengupayakan masyarakat luar bandar agar seiringan dengan perubahan dan perancangan pentadbiran kerajaan.

“Bengkel ini umumnya diadakan bagi memberi peluang kepada JKKK yang bermasalah untuk memperbaiki kelemahan dan berkongsi idea serta pandangan tentang pengurusan dan pentadbiran di peringkat JKKK itu sendiri,’’ katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Selain itu, bengkel sehari tersebut turut memberi pendedahan kepada JKKK tentang tatacara pentadbiran dan pengurusan serta memahami fungsi dan peranan yang perlu ada dalam sesebuah JKKK itu.

Sejumlah 90 JKKK dari daerah Seberang Perai Utara, JKKK dari daerah Seberang Perai Selatan (45) dan JKKK dari daerah Seberang Perai Tengah (45) turut serta dalam penganjuran bengkel berkenaan.