1,812 premis tak patuh SOP diarah tutup – Jagdeep

Admin
JAGDEEP Singh Deo (dua dari kiri) diiringi Teh Lai Heng (tiga dari kiri) dan Ir. Addnan Mohd. Razali (kanan sekali) mendapatkan maklum balas daripada seorang peniaga semasa membuat pemeriksaan pengejut di pasar awam Chowrasta di sini pada awal pagi tadi.

GEORGE TOWN – Sejak Perintah Kawalan Pergerakan mula dilaksanakan pada 18 Mac 2020 hingga kini sebanyak 1,812 premis pelbagai kategori yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telahpun diarahkan tutup untuk suatu tempoh oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan bersama-sama agensi berkaitan lain akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan demi memastikan Pulau Pinang segera beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Kita (Kerajaan) akan memastikan penguatkuasaan diteruskan sekiranya terdapat ketidakpatuhan.

“Dan, pastinya kita akan membenarkan premis ini dibuka semula setelah mereka mematuhi SOP,” jelasnya dalam sidang media bersama-sama ADUN Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri.

(Dari kiri) IR. Addnan Mohd Razali dan Jagdeep Singh Deo semasa sidang media tadi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata demikian selepas mengadakan pemeriksaan mengejut di Pasar Awam Chowrasta di sini pada awal pagi tadi.

Turut serta, Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali.

Menurut Jagdeep, hasil pemeriksaan lebih dua juta premis baru-baru ini mendapati tahap pematuhan di bahagian pulau dan Seberang Perai adalah lebih daripada 99 peratus.

“Walaupun tahap pematuhan di negeri ini adalah begitu, namun saya masih kurang berpuas hati kerana kes baharu (COVID-19) yang direkodkan semalam juga adalah tinggi (iaitu sebanyak 351 kes setakat 12 tengah hari 2 Julai 2021).

“Justeru, kita tidak boleh ambil mudah sungguhpun dalam kalangan kita mungkin telah mendapatkan vaksin bagi dos pertama atau lengkap dua dos…mesti teruskan patuh segala SOP,” tegasnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep turut menjelaskan mengenai fasa pertama program saringan Covid-19 secara bersasar yang dijadualkan bermula pada 5 hingga 8 Julai 2021.

“Saya juga berharap setiap orang dapat memberikan partisipasi pada program saringan tersebut yang akan dimulakan di semua KADUN (Kawasan Dewan Undangan Negeri) terutamanya di kawasan hotspot, seperti pasar awam.

“Di bahagian pulau dan Seberang Perai ada 56 pasar awam, di mana di pulau adalah 7,000 gerai, sementara di Seberang Perai (6,300) mengikut rekod kita.

“Mungkin mereka akan diberikan keutamaan dalam fasa pertama ini,” jelasnya sambil memberitahu program saringan bersasar berkenaan akan bermula pada Isnin ini dan akan diadakan di Stadium Bandaraya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD