Bantuan pinjaman laptop Kerajaan Negeri bantu licinkan proses PdPR, kata penerima

Admin
Gambar Fail : Foto diambil daripada program pada 30 Julai 2020.

KERAJAAN Negeri Pulau Pinang menjadi antara yang terawal menubuhkan ‘Task Force Program E-pembelajaran’ pada Mei tahun lepas bagi membangunkan sektor pendidikan dalam normal baharu.

Langkah itu diambil susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dek penularan pandemik COVID-19 yang telah memaksa para pelajar meneruskan sesi persekolah secara dalam talian menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Set komputer yang diterima oleh pelajar yang layak di bawah program pinjaman komputer oleh Kerajaan Negeri.

Difahamkan, sehingga Mei lalu sebanyak 1,742 unit komputer telah diagihkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada pelajar selain 279 telefon pintar di bawah program tersebut bagi memastikan proses PdPR berjalan lancar dan teratur.

Justeru, wartawan Buletin Mutiara SUNARTI YUSOFF berkesempatan mendapatkan pandangan ibu bapa pelajar yang telah menerima bantuan menerusi program tersebut dalam membantu melicinkan proses PdPR anak masing-masing.

NORMAH ZAINAL ABIDIN ketika dihubungi memberitahu bahawa anaknya, NUR SUHAILA ABDULLAH,16, antara pelajar yang telah menerima bantuan pinjaman laptop daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini.

Nur Suhaila Abdullah menerima laptop yang diberikan oleh Kerajaan Negeri melalui guru sekolah.

Beliau berkata, bantuan tersebut dapat membantu pembelajaran anak-anaknya kerana sebelum ini Suhaila dan adiknya, Solihin, 14, terpaksa berkongsi telefon pintar miliknya untuk mengikuti kelas PdPR.

“Sebelum ini, anak-anak saya terpaksa bergilir-gilir menggunakan telefon saya untuk proses PdPR, jadi sukar untuk mereka menjalani pembelajaran secara serentak.

“Sebab itu, kadang-kala saya terpaksa mengambil inisiatif membuat fotokopi bahan-bahan pembelajaran yang diberikan oleh guru-guru untuk memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam pelajaran.

“Sekarang, saya rasa sangat lega dan bersyukur kerana anak saya sudah menerima pinjaman laptop daripada Kerajaan Negeri dan ini akan memudahkan proses PdPR mereka,” katanya.

Walau bagaimanapun, Normah berharap agar sesi persekolahan secara bersemuka dapat diadakan semula secepat mungkin memandangkan proses pembelajaran di rumah dilihat kurang efektif.

“Sebab sekarang walaupun dah ada laptop dan telefon pintar tetap ada masalah kerana internet adakalanya sangat perlahan dan ini sudah tentunya akan mengganggu proses pembelajaran anak-anak,” ujarnya lagi.

Muhammad Adan Harris Azizul Hadi.

MUHAMMAD ADAM HARRIS, 14, dari Sekolah Menengah Agama Al-Irshad turut merima bantuan yang sama.

Ayahnya, AZIZUL HADI, seorang pesara memberitahu bahawa beliau bersyukur apabila anaknya itu layak menerima bantuan pinjaman laptop daripada Kerajaan Negeri yang dapat membantu memudahkan proses pembelajaran di rumah.

“Selain Muhammad Adam Harris, saya masih mempunyai dua orang lagi anak masing-masing berumur 10 dan 12 tahun.

“Oleh itu, ketiga-tiga anak saya sebelum ini terpaksa bergilir-gilir menggukan telefon pintar milik saya memandangkan isteri saya bekerja.

“Sekarang alhamdulillah lah.. dengan bantuan Kerajaan Negeri ini dapatlah membantu anak-anak saya terutamanya Muhammad Adam Harris untuk fokus terhadap pelajaran mereka,” ujarnya yang merupakan golongan orang kurang upaya (OKU) ketika dibungi sebentar tadi.

Muhammad Haikal Razi.

Sementara itu, WAN HALIMAH WAN SATAFA, ibu kepada pelajar, WAN MUHAMMAD HAIKAL RAZI, 11, berkata bahawa bantuan laptop yang diterima membolehkan anak-anaknya menyertai PdPR dengan lebih berkesan.

Katanya, sebelum ini tidak semua kelas PdPR boleh disertai oleh Wan Muhammad Haikal memandangkan telefon pintar miliknya tidak mempunyai aplikasi-aplikasi yang diperlukan untuk tujuan tersebut.

“Disebabkan masalah kekurangan gajet, anak-anak agak ketinggalan dalam pelajaran sebelum ini sehingga kerja rumah yang diberikan oleh cikgu terpaksa hantar lewat sedikit berbanding kawan-kawan dia yang lain.

“Keadaan ini juga menyebabkan anak-anak menjadi tertekan apabila mereka tidak dapat mengikuti kelas sekiranya jadual pembelajaran diadakan serentak.

“Tambahan pula, ketiga-tiga anak saya menggunakan telefon milik saya, jadi banyak perkara berkaitan mata pelajaran mereka yang saya terlepas pandang.

“Sekarang alhamdulillah… saya bersyukur kerana dengan adanya laptop ini saya dapat muat turun beberapa aplikasi penting yang diperlukan untuk proses PdPR seperti Google Meet, WhatsApp, Telegram, Zoom dan sebagainya,” katanya sambil menambah bahawa suaminya kini tidak bekerja kerana berstatus OKU.

Nurhayati Abdul Aziz.

Turut mengutarakan pandangan sama ialah NORLAILA ISMAIL yang merupakan ibu kepada NURHAYATI ABDUL AZIZ, 16.

Menurut Norlaila, anaknya yang merupakan seorang autisme mempunyai masalah fokus terutamanya apabila menggunakan telefon bimbit.

Perkara itu katanya, menyebabkan beliau terpaksa memohon untuk mendapatkan pinjaman laptop daripada Kerajaan Negeri kerana tidak mampu membelinya sendiri.

“Sekarang, dia jadi lebih bersemangat untuk mengikuti PdPR kerana semua aplikasi yang diperlukan sudah boleh digunakan,” ujarnya ringkas.

Law Swee Choo.

Dalam pada itu, nada sama turut dikongsi ibu kepada seorang lagi pelajar yang menerima bantuan tersebut, LAW SWEE CHOO.

Menurut beliau, anak bongsunya terpaksa berkongsi telefon bimbit menyebabkan anaknya itu sukar untuk menumpukan perhatian dalam pelajaran.

“Telefon bimbit skrin agak kecil, jadi apabila digunakan dalam janjang masa panjang akan menyebabkan mata mereka menjadi sakit sekali gus akan hilang fokus.

“Oleh itu, saya memohon mendapatkan bantuan laptop yang dapat membantu anak melicinkan proses pembelajaran mereka di rumah,” jelasnya yang merupakan seorang ibu tunggal.

M. Yoganjali.

M. YOGANJALI,14, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent (M) Bukit Mertajam mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas bantuan yang diberikan.

Katanya, inisiatif tersebut sememangnya dapat membantu dia dan dua lagi adiknya untuk mengikuti PdPR memandangkan ibu bapanya tidak mampu menyediakan lebih banyak peranti pintar.

“Sebelum ini kami terpaksa menunggu ibu bapa pulang dari kerja untuk menyiapkan kerja sekolah dan menyertai Google Meet, tetapi sekarang kami sudah ada komputer sendiri.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sentiasa membantu keluarga susah dengan pelbagai inisiatif ini,” katanya.