1,869 anak emas fasa dua terima RM200 sempena Tahun Baru Cina

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Seramai 1,869 bayi yang berdaftar di bawah Program Anak Emas Fasa Dua diraikan dan diberi sumbangan RM200 oleh Kerajaan Negeri sempena Tahun Baru Cina dalam majlis yang diadakan secara berasingan dalam tempoh dua hari baru-baru ini.

Sebelum ini, dalam fasa pertama, iaitu pada 1 dan 2 Januari lepas, menyaksikan seramai 1,384 anak emas
telahpun menerima sumbangan sebanyak RM200.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng berkata, sumbangan itu wajar dilihat sebagai simbolik kepada inisiatif Kerajaan Negeri untuk keselesaan rakyat.

“Sumbangan ini juga merupakan satu simbolik kepada keprihatinan Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) dalam menjaga kebajikan rakyat,” ujar beliau pada Majlis Sumbangan Program Anak Emas Fasa Dua Peringkat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di Dewan Besar Sungai Dua, di sini baru-baru ini.

Bercakap pada majlis tersebut, beliau turut melahirkan rasa syukur kerana Kerajaan Negeri berjaya menaikkan sumbangan program tersebut dari RM100 ke RM200. Malah, semua anak Pulau Pinang tanpa mengira warna kulit, kepercayaan atau ideologi politik yang mendaftar di bawah program tersebut adalah layak.

Sementara itu, turut disumbangkan adalah wang khairat kematian kepada 52 waris warga emas yang meninggal dunia.

Beliau berkata, kejayaan tersebut adalah hasil pentadbiran Kerajaan Negeri yang Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT).

Turut hadir di majlis tersebut, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Boon Poh, A.Tanasekharan (ADUN Bagan Dalam), Jusni Ismail (Pegawai Daerah Seberang Perai Utara).