Parkir alternatif Bukit Bendera mampu tampung 86 kenderaan

KETUA Menteri (hadapan, kanan) mencuba sendiri laluan pejalan kaki berjejambat sambil ditemani Farizan Darus (hadapan, kiri), kakitangan PHC dan pihak media.
KETUA Menteri (hadapan, kanan) mencuba sendiri laluan pejalan kaki berjejambat sambil ditemani
Farizan Darus (hadapan, kiri), kakitangan PHC dan pihak media.

BUKIT BENDERA – Perbadanan Bukit Bendera (Penang Hill Corporation – PHC) telah menyediakan sebuah tapak parkir berhampiran dengan Tokong Thee Kong Thua bagi kemudahan pengunjung pusat pelancongan terbabit.

Parkir alternatif tersebut adalah bagi menampung kehadiran pengunjung ke Bukit Bendera sementara menunggu kerja-kerja pembinaan semula tempat parkir baharu siap sepenuhnya pertengahan tahun ini.

Menurut Pengurus PHC, Datuk Lee Kah Choon, tempat parkir yang beroperasi pada 18 Januari lalu adalah cadangan Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng sendiri. Malah, tapak yang disediakan itu juga mampu menampung kira-kira 86 buah kenderaan dalam suatu-suatu masa.

“Ahli Lembaga Pengarah juga telah meluluskan sebuah laluan pejalan kaki berjejambat baru yang  menghubungkan tempat parkir tersebut dengan stesen bawah Bukit Bendera,” tambah beliau dalam sidang media yang diadakan selepas lawatan Ketua Menteri ke lokasi tersebut.

Laluan sepanjang 1.37 kilometer yang melibatkan kos bernilai RM193,000.00 bukan sahaja memudahkan pengunjung untuk ke stesen bawah perkhidmatan koc Bukit Bendera, malah, turut memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati keindahan dan kehijauan flora di sepanjang laluan tersebut.

Selain itu, sejumlah RM40,000.00 telah dibelanjakan bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pemasangan lampu di kawasan parkir.

“PHC juga akan membuka kembali gerai jualan cenderahati dan makanan ringan di stesen bawah,” ujar Kah Choon lagi.

Hadir sama semasa kunjungan Ketua Menteri ke Bukit Bendera ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Yusoff Wazir dan Setiausaha Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ir. Ang Aing Thye.