187 penerima terima kunci Rumah MutiaraKu Mak Mandin Indah berharga RM42,000

Admin
img 20260526 wa0052

BAGAN DALAM – Seramai 187 penerima menerima kunci dan surat tawaran pemilikan Rumah MutiaraKu (RMKu) Jenis A bagi projek Pangsapuri Mak Mandin Indah di sini.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata, unit kediaman berkeluasan 650 kaki persegi itu dilengkapi tiga bilik tidur dan ditawarkan pada harga RM42,000 bagi membantu rakyat memiliki rumah sendiri.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus komited memastikan agenda pemilikan rumah mampu milik dapat dinikmati rakyat meskipun kos pembinaan semasa semakin meningkat.

img 20260526 wa0061


img 20260526 wa0055
S. Sundarajoo menyerahkan surat tawaran Rumah MutiaraKu kepada penerima yang layak.

“Jika mengikut keadaan semasa, kos membina sebuah rumah pangsa seperti ini adalah antara RM170,000 hingga RM180,000 seunit, manakala rumah kedai pula sekitar RM300,000.

“Jumlah keseluruhan kos pembinaan projek rumah mampu milik ini mencecah hampir RM29 juta, namun ia dijual pada harga keseluruhan RM9 juta sahaja.

“Ini bermakna Kerajaan Negeri menanggung kira-kira RM20 juta demi memastikan rakyat Pulau Pinang yang berpendapatan rendah berpeluang memiliki kediaman sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik Projek Pangsapuri Mak Mandin Indah di sini semalam.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, K. Kumaran; ADUN Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen; Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Khairulnizam Hashim serta Ketua Pegawai Eksekutif PDC Properties Sdn. Bhd., Ir. Ismail Ishak.

img 20260526 wa0060
Keadaan dan rupa bentuk Rumah MutiaraKu berharga RM42,000.

img 20260526 wa0062img 20260526 wa0044

Mengulas lanjut, Sundarajoo berkata, Kerajaan Negeri menerusi LPNPP menyasarkan pembinaan sebanyak 220,000 unit Rumah MutiaraKu bagi memenuhi keperluan perumahan rakyat di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa mulai tahun lalu, LPNPP turut membeli unit rumah pematuhan berharga bawah RM100,000 yang dibina pemaju untuk dijual semula kepada rakyat melalui kaedah sewa beli.

“Kita mahu memudahkan rakyat memiliki rumah tanpa perlu membuat pinjaman bank, sekali gus mengelakkan mereka daripada menanggung kadar faedah tinggi serta bayaran deposit yang boleh mencecah sehingga RM6,000.

“Bagi Pangsapuri Mak Mandin Indah, unit rumah ditawarkan menerusi konsep sewa beli, di mana penerima hanya perlu membayar RM250 sebulan selama 15 tahun sebelum rumah tersebut menjadi milik penuh,” ujarnya.

Tambah beliau, selain Rumah MutiaraKu Jenis A, Kerajaan Negeri turut menyediakan skim perumahan Jenis C berharga antara RM200,000 hingga RM300,000 yang juga ditawarkan menerusi kaedah sewa beli.

“Inilah usaha Kerajaan Negeri untuk memudahkan rakyat memiliki hartanah di Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penerima, K. GOPINATH, 49, meluahkan rasa syukur selepas akhirnya menerima tawaran rumah sendiri setelah sekian lama hidup berpindah-randah.

Gopinath yang telah lama berpisah dengan isterinya dan tidak mempunyai cahaya mata berkata, dia akan mendiami rumah tersebut bersama ibunya yang berusia 81 tahun.

“Dulu saya bekerja di sebuah kilang, namun terlibat dalam kemalangan apabila terjatuh sehingga kaki kanan cedera dan sukar berjalan dengan baik menyebabkan ada masanya saya terpaksa menggunakan kerusi roda.

“Akibat kejadian itu, saya kehilangan pekerjaan dan kini hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan separuh masa untuk menampung perbelanjaan hidup.

“Sebelum ini saya menyewa rumah di Permatang Pauh dengan kadar sewa RM900 sebulan, namun saya tidak mampu meneruskannya kerana pendapatan tidak menentu.

“Saya sangat gembira dan bersyukur menerima tawaran ini kerana hanya perlu membayar RM250 sebulan dan rumah ini akan menjadi milik saya selepas 15 tahun,” katanya.

img 20260526 wa0054
K. Gopanath (berkerusi roda, kiri) dan Yap Gaik Looi bersama-sama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

Seorang lagi penerima, YAP GAIK LOOI, 77, turut meluahkan rasa syukur kerana akhirnya berpeluang memiliki rumah sendiri.

Gaik Looi berkata, dia kini tinggal bersama anak perempuan serta empat cucunya di sebuah rumah sewa di Teluk Kumbar selepas rumah lamanya runtuh.

“Saya amat bersyukur dan gembira kerana terpilih sebagai salah seorang penerima Rumah MutiaraKu. Saya akan tinggal di sini bersama anak perempuan dan cucu-cucu saya,” ujarnya ringkas.

Oleh: SUNARTI YUSOFF

Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS