Projek Jalan Pintasan Ayer Itam–Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dijangka siap April 2027

Admin
838ad112 aabf 482d 8107 6946a250c62a

GEORGE TOWN – Projek Jalan Pintasan Pakej 2 dari Ayer Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu terus dilaksanakan mengikut tempoh semasa dengan sasaran siap pada April 2027.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, projek berkenaan yang ditawarkan pada tahun 2020, sebelum ini mempunyai jangkaan awal untuk disiapkan sekitar tahun 2023, namun perkara tersebut tidak dimuktamadkan secara rasmi memandangkan kerja-kerja pembinaan masih berjalan.

“Terdapat jangkaan awal bahawa projek berkenaan dapat disiapkan lebih awal sekitar tahun 2023, namun perkara itu tidak pernah dimuktamadkan secara rasmi kerana kerja-kerja pembinaan masih berjalan.

“Pada masa sama, kelewatan projek dipercayai berpunca daripada masalah kewangan yang melibatkan syarikat konsesi, manakala isu berkaitan pandemik COVID-19 tidak lagi boleh dijadikan alasan utama bagi kelewatan yang masih berlaku ketika ini,” jelasnya kepada pemberita seusai berucap dalam Program Pelancaran Muzik Video “Oh Malaysiaku” anjuran Persatuan Prihatin Komuniti Harmoni Pulau Pinang (CHC) di sini pada 25 Mei 2026.

Media sebelum ini melaporkan bahawa syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC), Penang Infrastructure Corporation (PIC) mengesahkan tarikh siap projek tersebut telah dilanjutkan kepada 12 April 2027 selepas dua kelulusan lanjutan masa (EOT) diberikan mengikut syarat kontrak.

Dalam pada itu, PIC turut memaklumkan bahawa projek tersebut kini mencapai kira-kira 87 peratus kemajuan, dengan pelaksanaan kerja tertumpu kepada struktur jejambat (viaduct) serta pembinaan dek (deck works) di beberapa seksyen utama. Antara faktor yang menyumbang kepada pelaksanaan projek termasuk proses pengambilan balik tanah serta kelulusan teknikal di lokasi tertentu.

Menurut PIC lagi, projek jalan pintasan sepanjang kira-kira 5.7 kilometer itu merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), dan dijangka dapat mengurangkan masa perjalanan antara Bandar Baru Ayer Itam dan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu daripada 40 minit kepada hanya lima hingga 10 minit apabila siap kelak.

Sementara itu, dalam isu berlainan, Kon Yeow memaklumkan bahawa pihak Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memerlukan sedikit masa tambahan bagi menyediakan pembentangan berhubung cadangan Projek Tapak Pelupusan Sampah Jelutong (TPSJ).

“Pihak berkaitan dijangka hadir membentangkannya pada minggu hadapan,” jelasnya lanjut.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI