19, 556 unit rumah PR1MA di Pulau Pinang? soal Exco

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI & NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Exco Perancang Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo menggesa Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) supaya menjelaskan secara terperinci projek-projek pembangunan rumah mampu milik pihak berkaitan di Pulau Pinang.

Katanya, berdasarkan kenyataan Ketua Pegawai Operasi PR1MA pada 7 April 2016, sejumlah 19,556 unit rumah PR1MA akan dibangunkan di Pulau Pinang, namun, mengikut rekod Kerajaan Negeri (sehingga 15 April 2016), hanya 14,935 unit dalam permohonan.

“Dalam apa jua keadaan pun, tidak ada satu permohonan tersebut diluluskan. Misalnya, permohonan di Batu Ferringhi telah ditangguhkan bagi membolehkan PR1MA menyemak semula harga.

“Begitu juga permohonan di Kampung Sungai Pinang, Balik Pulau. Pemajuan 29 blok rumah mampu milik hingga mencecah RM510,000 adalah tidak masuk akal sama sekali. Lebih-lebih lagi, bangunan 27 tingkat tersebut melebihi ketinggian ditetapkan di kawasan Balik Pulau, iaitu hanya maksima 16 tingkat.

“Lain-lain masih belum diterima. Apakah PR1MA akan membina 19,556 unit rumah mampu milik di Pulau Pinang? PR1MA perlu jelaskannya secara terperinci termasuk lokasi, jumlah unit dan harga yang ditawarkan,” soalnya pada majlis sidang media di sini 11 April lalu.

Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat turut mendesak PR1MA agar dapat menyusun semula harga maksimum bagi unit-unit perumahan PR1MA kepada RM300,000 seunit dalam meningkatkan akses rumah mampu dimiliki oleh rakyat.

Beliau berkata demikian setelah Pulau Pinang bersetuju untuk menetapkan harga siling rumah mampu milik pada harga RM300,000 melalui Jawatankuasa Kerja Pemantauan Pelaksanaan Keputusan (JKPKM) Majlis Perumahan Negara (MPN) pada 4 April 2016.

“Penetapan harga siling tersebut dibuat setelah mendapat saranan Kerajaan Persekutuan untuk merendahkan had siling semasa di bahagian pulau kepada RM300,000 berbanding had harga semasa, RM400,000.

“Bagi rumah mampu milik di bahagian Seberang Perai, harga dikekalkan pada had harga RM250,000 seunit,” jelasnya.

Jagdeep dalam pada itu mengingatkan bahawa satusatunya sebab Kerajaan Negeri menetapkan had harga siling RM400,000 sebelum ini adalah disebabkan hakikat bahawa PR1MA, program perumahan mampu milik Kerajaan Persekutuan juga menetapkan harga sedemikian sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 7 Oktober 2011 dalam ucapan bajet beliau sebelum pengisytiharan Akta PR1MA 2012.

“Justeru, saya secara khusus meminta agar PR1MA juga mengikut jejak merendahkan had siling kepada RM300,000 kerana saya tidak nampak rasional atau justifikasi untuk PR1MA terus mengekalkan harga siling pada RM400,000.

“Jika sektor swasta di Pulau Pinang boleh berbuat demikian, mengapa tidak Kerajaan Persekutuan? Mengapa tidak PR1MA yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri?

“Sesungguhnya, sebagai sebuah kerajaan, kita harus meletakkan kepentingan rakyat terlebih dahulu dan bukannya keuntungan,” ujar beliau.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);