200 murid terima sumbangan pendidikan RM100

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUTTERWORTH – Kira-kira 200 murid dari keluarga berpendapatan rendah di sekitar Parlimen Bagan menerima sumbangan RM100 seorang bagi persiapan membeli pakaian seragam dan kelengkapan lain untuk sesi persekolahan tahun depan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng berkata, beliau percaya perhatian yang lebih dalam soal kependidikan anak-anak mampu mengubah sosial ekonomi keluarga kelak.

“Saya harap duit ini dapat membantu kerana hanya pendidikan cemerlang sahaja dapat mengubah ekonomi kita sekeluarga,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Bantuan Pelajar Termiskin Sekolah-Sekolah Rendah Kawasan  Parlimen Bagan di Dewan Haji Ahmad Badawi, di sini baru-baru ini.

Turut berucap, Pengasas Pertubuhan Amal Seri Sinar, Datuk Dr. Eadon Ching. Pertubuhan bukan kerajaan itu
menyumbang RM20,000 manakala baki RM20,500 lagi disumbangkan sendiri oleh Guan Eng yang juga Ahli
Parlimen Bagan.

Difahamkan, Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Bagan merancang untuk menyerahkan sumbangan kepada 200 murid lain sebelum sesi persekolahan depan menggunakan baki wang sumbangan tersebut.

Zaliha Ismail, 36, ibu kepada Shafalidia Fadzil, 9, menganggap sumbangan tersebut dapat mengurangkan beban berbelanja sekolah anaknya.

“Legalah kerana sumbangan RM100 ini lepas (menampung) belanja anak ke sekolah,” ujar beliau sambil menyatakan bahawa anaknya Shafalidia yang kini belajar di Sekolah Bagan Jermal, Butterworth sebelum ini hanya menerima bantu daripada Pusat Urus Zakat (PUZ) Pulau Pinang sahaja.

Nada yang sama turut disuarakan oleh Selvarani a/p Murugaya, 11, dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hwa 2, Butterworth.

“Gembiralah. Duit ini mesti digunakan untuk membeli pakaian (seragam) sekolah dan barang-barang sekolah,” ujar beliau sambil ditemani abang kandungnya, Jagadish a/l Murugaya, 17.

Beliau berkata, sumbangan ini mungkin kecil bagi keluarga yang berpendapatan tinggi. Tetapi beliau berkata sumbangan tersebut cukup bermakna bagi beliau sekeluarga.

Bagi Aw Chum Phin, 12, yang kini belajar di Sekolah Kebangsaan Bagan Ajam berkata sumbangan itu boleh digunakan untuk persiapan beliau ke Tingkatan 1 tahun depan.

“Sumbangan ini kira baiklah. Lebih daripada cukup bagi saya, dapat RM100 pun cukup bagi saya untuk membuat persiapan ke (tingkatan 1) sekolah menengah,” ujarnya sambil ditemani ibunya, Thamchai Chtam, 34.

PARA pelajar menunjukkan sumbangan yang diterima pada Majlis Penyampaian Bantuan Pelajar Termiskin Sekolah- Sekolah Rendah Kawasan Parlimen Bagan di sini baru-baru ini. Turut hadir adalah ADUN Bagan Dalam, A. Tanasekharan (belakang, kanan sekali).
PARA pelajar menunjukkan sumbangan yang diterima pada Majlis Penyampaian Bantuan Pelajar Termiskin Sekolah- Sekolah Rendah Kawasan Parlimen Bagan di sini baru-baru ini. Turut hadir adalah ADUN Bagan Dalam, A. Tanasekharan (belakang, kanan sekali).