Parkir Bukit Bendera dibina semula, arkitek dibuang kerja

Oleh: ZULIANA AZIZ

BANGUNAN parkir Bukit Bendera yang akan dirobohkan.
BANGUNAN parkir Bukit Bendera yang akan dirobohkan.

GEORGE TOWN – Kontroversi berkaitan parkir bertingkat Bukit Bendera kini selesai apabila Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat EXCO mengambil keputusan untuk merobohkan, merekabentuk dan membina semula keseluruhan bangunan tersebut.

Mesyuarat yang diadakan pada 1 Disember lalu juga telah memutuskan untuk menambah bilangan lot parkir daripada 112 kepada 300 yang mana akan menelan belanja sebanyak RM25,000 setiap lot. Walau bagaimanapun, kos purata bagi setiap tempat letak kereta selepas mengambil kira kos yang dirobohkan iaitu RM4.3 juta menjadikan RM39,000 setiap lot.

KETUA Menteri (kanan) bersama salah seorang Ahli Jawatankuasa Siasatan Parkir Bertingkat Bukit Bendera, Ar. Lawrence Lim Hua Kwang menunjukkan laporan siasatan yang telah siap.
KETUA Menteri (kanan) bersama salah seorang
Ahli Jawatankuasa Siasatan Parkir Bertingkat
Bukit Bendera, Ar. Lawrence Lim Hua Kwang
menunjukkan laporan siasatan yang telah siap.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Kerajaan Negeri telah bersetuju menerima pilihan pertama daripada tiga cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Siasatan Parkir Bertingkat Bukit Bendera dalam  laporan siasatan yang dikemukan oleh mereka baru-baru ini.

“Kos sebanyak RM5.5 juta hingga R M 6 . 7 5 juta diperlukan bagi merobohkan dan membina semula bangunan tersebut dan dijangka siap dalam tempoh 15 bulan,” kata Ketua Menteri.

Selain daripada itu, pilihan kedua yang dikemukakan sebelum ini iaitu membuat sedikit perubahan dengan merobohkan sebahagian bangunan dan membina semula kawasan curam supaya lebih landai dengan kos berjumlah RM1.5 juta dan mengurangkan jumlah lot parkir daripada 112 kepada 96 lot.

Pilihan ketiga ialah merobohkan kawasan curam dan digantikan dengan lif kenderaan.

Menurut Ketua Menteri lagi, arkitek yang bertanggungjawab atas kelemahan bangunan parkir tersebut sudah dibuang kerja dan tindakan selanjutnya diambil dengan membuat aduan kepada Lembaga Arkitek Malaysia supaya tindakan sivil dikenakan terhadap arkitek terbabit.