200 pengunjung Pasar Awam Chai Leng Park ditawar ujian saringan percuma

Admin

PERAI – Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai mengambil langkah proaktif dengan menjalankan ujian saringan percuma kepada 200 pengunjung Pasar Awam Taman Chai Leng Park di sini.

ADUNnya, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata bahawa inisiatif tersebut diambil susulan 11 kes positif dilaporkan membabitkan peniaga di pasar awam berkenaan baru-baru ini.

P. Ramasamy ketika hadir memantau proses ujian saringan percuma kepada pengunjung Pasar Awam Chai Leng Park dekat Klinik K.S. Wong di sini sebentar tadi.

“Ujian saringan ini ditawarkan untuk mereka yang mengunjungi Pasar Awam Chai Leng Park pada 18 hingga 20 Jun lalu dengan keutamaan kepada golongan berpendapatan rendah (B40).

“Seorang doktor tempatan dari klinik swasta di sini telah menawarkan 100 kit serta ujian saringan percuma kepada 100 pengunjung ke pasar awam berkenaan pada 18 hingga 20 Jun 2021.

“(Dan) pada hari ini pejabat ADUN Perai menambah 100 lagi kit ujian dan saringan percuma dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh saya.

“Justeru, saya mengucapkan terima kasih kepada Klinik (K.S) Wong kerana telah menyumbang bakti kepada penduduk Perai dalam masa yang memerlukan ini,” katanya pada sidang media dekat sini sebentar tadi.

Pengunjung mengambil peluang jalani ujian saringan COVID-19.

Turut hadir ialah Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), David Marshel dan Jason Raj serta kakitangan Pejabat ADUN Perai.

Dalam pada itu, Ramasamy turut menggesa kepada pengunjung ke pasar awam berkenaan yang mempunyai simptom jangkitan COVID-19 supaya segera menjalankan ujian saringan di klinik kesihatan terdekat.

Sebelum ini, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Tengah mengarahkan agar Pasar Awam Chai Park ditutup selama 10 hari bermula 19 Jun 2021 berikutan 11 peniaga disahkan positif COVID-19.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata bahawa penutupan itu melibatkan 143 peniaga di dalam pasar dan 56 peniaga pasar pagi yang berniaga di luar bangunan pasar awam berkenaan.

“Semua peniaga atau pengunjung Pasar Awam Chai Leng Park yang mempunyai kontak rapat dengan kes positif COVID-19 akan dihubungi oleh Pegawai Kesihatan Daerah untuk arahan menjalani ujian saringan.

“Mereka digesa segera hadir untuk mengambil ujian dan menghubungi Bilik Gerakan PKD Seberang Perai Tengah di talian 04-5397884 untuk mendapatkan janji temu,” katanya dalam kenyataan pada 21 Jun lalu.

Tambah Rozali, peniaga yang ingin menjalani ujian saringan boleh berbuat demikian di mana-mana klinik swasta dan memaklumkan kepada MBSP hasil keputusan yang diperoleh untuk tujuan rekod dan perancangan selanjutnya.

“Para peniaga juga diingatkan mematuhi arahan penutupan pasar awam ini dan tidak dibenarkan untuk berniaga sehingga 29 Jun ini atau sehingga dimaklumkan kelak,” jelasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS