Bersama-sama pastikan kehadiran janji temu PPV capai 100%

Admin

BATU MAUNG – Semua sektor ekonomi, sosial dan agama yang dibelenggu dek pandemik COVID-19 sejak tahun lepas hanya boleh dibuka kembali sebagaimana di negara-negara berkaitan, sekiranya 80 peratus populasi Malaysia sah menerima vaksin.

Justeru Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa bukan sahaja Kerajaan Persekutuan mesti memastikan jaminan bekalan vaksin untuk Pulau Pinang mencukupi bagi mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mencapai sasaran pada Oktober ini, tetapi kerjasama rakyat dituntut jua.

Malah, menurut beliau, rakyat juga perlu bersama-sama membantu kerajaan bagi memastikan peratusan kehadiran temu janji ke Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV) negeri yang ketika ini secara purata adalah 85 peratus segera diperbaiki hingga mencapai 100 peratus tiap-tiap hari.

“Jalan keluar daripada pandemik adalah melalui pemberian vaksin kerana dibuktikan di banyak negara apabila semakin ramai rakyat menerima vaksin, ia mempunyai hubung kait dengan kes-kes jangkitan COVID-19 ini,” jelasnya selepas melawat PPV dekat Dewan Balai Rakyat Bayan Baru di sini pada petang tadi.

Bercakap pada sidang media sama sebelum itu, Pegawai Kesihatan Daerah Barat Daya, Dr. Fazilah Mydin memberitahu bahawa PPV di sini baru beroperasi sejak semalam (22 Jun 2021) dengan peratusan penerima vaksin hadir mengikut temu janji yang ditetapkan adalah kira-kira 85 peratus.

Sebelum itu, Kon Yeow meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat PPV di kampus induk Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah mula beroperasi sejak Isnin lalu.

Beliau menjangkakan bahawa Pulau Pinang bakal mencapai sejuta pendaftar vaksin melalui aplikasi MySejahtera dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Saya percaya kesedaran masyarakat telah meningkat yang mana sehingga semalam sebanyak 991,000 pendaftaran telah direkodkan dengan jumlah sasaran sebenar seramai 1.384 juta rakyat mendaftar.

“Serentak itu, diharap PPV yang belum diaktifkan di negeri ini dapat diberikan kelulusan secepat mungkin di samping bekalan vaksin yang mencukupi menjelang bulai Julai dan Ogos nanti sepertimana dijanjikan Menteri bertanggungjawab,” ujarnya sambil menzahirkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan universiti berkenaan yang mengambil inisiatif menyokong pelaksanaan PICK dengan menyediakan kemudahan PPV di dua kampusnya.

Hadir mengiringi lawatan tersebut ialah Naib Canselor USM, Prof. Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan serta Timbalan Naib Cancelor Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM, Prof. Dr. Md. Roslan Hashim.

PPV Kampus Induk USM mampu menampung maksimum 1,000 dos vaksin sehari dengan kemampuan harian kini mencapai 400 dos sehari, manakala Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) di kampus USM Bertam (400) dengan kini telah mencapai kadar 200 dos vaksin sehari.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB & NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : LAW SUUN TING & ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI