200 terima hamper sempena Deepavali Kepala Batas

Admin

BERTAM – Sebanyak 200 hamper berupa barang keperluan dapur diagihkan kepada penerima terpilih sekitar kawasan Parlimen Kepala Batas, sempena menyambut Deepavali tidak lama lagi.

Ketika berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebegini dapat mengeratkan lagi semangat muhibah dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negeri ini.

“Penganjuran majlis ini bukan sahaja dapat mengeratkan lagi ikatan persaudaraan dan semangat muhibah sesama kita, bahkan turut menyatu-padukan rakyat setempat.

“Sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam masyarakat terdiri daripada kepelbagaian budaya dan agama, ia adalah amat penting bagi kita untuk saling menghormati serta memahami keistimewaan setiap perayaan yang disambut oleh pelbagai etnik dalam masyarakat kita,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi dalam Majlis Makan Malam Sambutan Deepavali Anjuran Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri di sini pada 18 Oktober 2019.

Turut serta, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu; ADUN Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri; Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri, Lay Hock Peng; dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ooi Yong Wooi.

Sebelum itu, Hock Peng ketika berucap memberitahu bahawa pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada penduduk setempat yang berbilang kaum kerana senantiasa menyokong acara-acara menyemarak semangat muhibah di peringkat kawasan Kepala Batas.

“Sebenarnya di Kepala Batas, kita bukan sahaja menyambut Deepavali seperti malam ini, tapi semua perayaan yang melambangkan semangat muhibah antara kita yang berbilang kaum,” ujarnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD