Persempadanan semula perlu dilaksanakan di seluruh negara, bukan kawasan tertentu sahaja – Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk mengadakan perbincangan berhubung persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ingin melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya, ia perlu dilakukan di seluruh negara dan bukan hanya di kawasan tertentu sahaja.

“Sebelum ini, pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan tanggungjawabnya dalam proses persempadanan semula (sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14, PRU14).

“Kerajaan Negeri juga telah mengemukakan petisyen kepada pihak SPR termasuk menghadiri sesi pendengaran.

Malah, membawa isu ini ke mahkamah bagi mencabar cadangan persempadanan semula membabitkan kawasan Paya Terubong (kerusi di Dewan Undangan Negeri) yang mempunyai lebih ramai pengundi berbanding kawasan lain.

“Namun, bantahan kita (Kerajaan Negeri) ditolak,” respons beliau terhadap soalan pemberita berhubung kenyataan Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan yang terpaksa mengguna pakai persempadanan sedia ada pada pilihan raya akan datang.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berharap agar proses persempadanan semula yang akan dilakukan oleh SPR dalam tempoh lapan tahun akan datang mampu mengimbangi jumlah pengundi di satu-satu kawasan berbanding kini.

Terdahulu, Azhar dalam kenyataannya menyatakan bahawa pihak SPR terpaksa mengguna pakai persempadanan semula kawasan pilihan raya yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat sebelum PRU14 bagi tempoh lapan tahun akan datang meskipun menjangkakan  pertambahan jumlah pengundi berdaftar pada pilihan raya akan datang.

Walau bagaimanapun, dengan sokongan 2/3 majoriti daripada jumlah kerusi dalam Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, persempadanan semula boleh dilakukan walaupun tempoh lapan tahun belum tamat.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING