200,000 pelitup muka diagih kepada ADUN, pejabat daerah dan agensi Persekutuan minggu ini

Admin

GEORGE TOWN – Sebanyak 200,000 helai pelitup muka (face mask) akan mula diserahkan ke pejabat-pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pejabat daerah dan agensi Persekutuan dalam usaha membasmi penularan wabak COVID-19 pada minggu ini.

Jumlah tersebut adalah sebahagian daripada tempahan 6 juta helai pelitup muka yang telah diumumkan Kerajaan Negeri sebelum ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa keseluruhan stok tempahan berkenaan akan tiba secara berperingkat yang mana sebanyak 200,000 helai pelitup muka telah diterima dan stok fasa kedua dijangka sampai minggu hadapan.

“Bagi rakyat Pulau Pinang, ADUN kawasan masing-masing akan melakukan pengedaran kepada mereka yang memerlukan dari semasa ke semasa mengikut stok yang diterima.

“Minggu hadapan, apabila stok fasa kedua sampai, pengedaran akan dibuat secara adil dengan memberi keutamaan kepada barisan hadapan dan juga golongan rakyat memerlukan… ia adalah komitmen Kerajaan Negeri,” ucapnya pada siaran langsung menerusi laman Facebook peribadi beliau pada Fasa Kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ke-16 di sini sebentar tadi.

Pada siaran langsung sama, Kon Yeow turut mengumumkan komitmen tambahan Kerajaan Negeri dengan memperuntukkan sejumlah RM60,000 bagi membiayai kos penghasilan pelindung muka (face shield) untuk menampung kegunaan semua hospital serta klinik kerajaan di Pulau Pinang.

“Pelindung muka ini adalah hasil reka cipta anak jati Pulau Pinang yang juga merupakan seorang jurutera, yang mana beliau dan pasukannya telah mereka cipta semula pelindung muka yang digunakan oleh warga perubatan kita (Pulau Pinang).

“Ia memperoleh pengiktirafan daripada pakar perubatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), lebih selamat, selesa dipakai, lebih murah dan mudah untuk dihasilkan,” ulasnya sambil menambah bahawa sejumlah 2,000 pelindung muka akan dihasilkan setiap hari untuk tempoh masa sebulan.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, Kon Yeow turut memuji semangat kekitaan dan kemanusian semua pihak yang tidak henti-henti mengulurkan sumbangan serta memberi sokongan kepada Kerajaan Negeri.

Serentak itu, beliau mengumumkan tiga sumbangan yang diterima Kerajaan Negeri hari ini iaitu daripada Konsulat China di Pulau Pinang, Lu Shiwei; XSD International Paper iaitu sebuah syarikat China yang beroperasi di Kedah dan The Government of Quangang District, Fujian Province.

“Sumbangan ini merangkumi 15,000 topeng muka pembedahan daripada Konsulat China, 50,000 pelitup muka (XSD International Paper) dan 6,400 topeng muka pembedahan, 100 set pakaian perubatan pakai buang serta 100 set pelindung kaki (The Government of Quangang District),” ujarnya.

Hadir bagi menerima sumbangan kelengkapan berkenaan ialah Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Zubaidah Che’ Embee dan Shirley Lim (Pegawai Farmasi HPP).

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD