Kerajaan Negeri terima sumbangan sarung tangan, pelitup mulut dan hidung

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima sumbangan berupa sarung tangan getah daripada syarikat pengeluar sarung tangan getah utama dunia, Top Glove Corporation Berhad (Top Glove).

 

Sumbangan disampaikan oleh Pengurus Kanan Pembuatan Top Glove, Chan Siao Yun kepada Kon Yeow yang mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

 

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Top Glove kerana menyumbang dan membantu melindungi frontliners (petugas barisan hadapan) daripada ancaman jangkitan COVID-19.

 

“Kerajaan Negeri masih berusaha untuk membekalkan PPE (peralatan pelindungan diri) dan lain-lain keperluan termasuk face mask (pelitup mulut dan hidung) serta akan menyerahkan kepada pihak frontliners secara berperingkat,” ujarnya ketika ditemui sejurus majlis penyerahan ringkat di Komtar, tadi.

 

Sejumlah 60,000 sarung tangan getah biasa dan 30,000 sarung tangan getah jenis klinikal diserahkan hari ini menjadikan jumlah yang telah disumbangkan oleh Top Glove kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah 160,000 sarung tangan getah.

 

Terdahulu, pada 25 Mac lalu, Top Glove turut menyumbang 70,000 sarung tangan getah untuk diserahkan kepada empat jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dalam membendung penularan wabak COVID-19 di negeri ini.

KETUA Menteri bersama-sama Teh Lai Heng (kanan) menerima sumbangan pelitup mulut dan hidung daripada Tony Khor (kiri).

Dalam majlis berasingan, Kon Yeow turut menerima sumbangan 16,000 pelitup mulut dan hidung daripada The Buddhist Triple Wisdom Hall Ven Chuk Mor Foundation.

 

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusinya, Datuk Tony Khor di Komtar, tadi.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & ALISSALA THIAN