2018, KM harap jana sampah boleh dikurangkan 4% lagi

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : WONG BOON FOEI

GEORGE TOWN – Pada tahun 2018 ini, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap semua pihak boleh membantu mengurangkan lagi penjanaan sampah sebanyak 4 peratus di negeri ini.

“Setiap hari, setiap penduduk negeri Pulau Pinang membuang secara purata 1.2 kilogram (kg) sampah, dan oleh itu sejumlah 1,800 tan sampah dikutip dari seluruh negeri untuk dilupuskan di Tapak Pelupusan (sampah) Pulau Burong.

“Sekiranya semua (dasar menjaga alam sekitar) ini dapat melencongkan 4 peratus sampah daripada memasuki tapak pelupusan, dianggarkan RM2.5 juta dapat dijimatkan setiap tahun,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan pada program Karnival Sisa Sifar dekat Pusat Sumber Alam Sekitar Taman Bagan Lalang di sini 14 Januari lalu.

Turut berucap, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud serta Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Lim Chee Keong.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Boon Poh; Naib Pengerusi Pusat Sumber Alam Sekitar Taman Bagan Lalang, Ch’ng Kian Ann serta Ahli Majlis bagi MPSP, Tan Chee Teong.

Difahamkan, tahun ini, MPSP dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) masing-masing memperuntukkan RM102.17 juta dan RM103.5 juta.

Manakala, 38 peratus kadar kitar semula yang dicatatkan di Pulau Pinang merupakan rekod negeri paling tinggi di negara ini.

Pun begitu, Guan Eng berharap MPSP yang ketika ini merekodkan 42 peratus kadar kitar semula supaya mensasarkan peratusan yang lebih tinggi iaitu lebih 50 peratus.