“TUTM bukti bantuan untuk petani, penternak dan nelayan Pulau Pinang”

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mencadangkan jumlah pinjaman mikro kredit Tabung Usahawan Tani Muda (TUTM) dinaikkan menjadi RM10,000 hingga RM15,000, berbanding RM5,000 sahaja kepada pemohon sebelum ini.

Beliau berkata demikian sebelum menyampaikan cek TUTM kali ketujuh kepada sembilan lagi penerima di Pejabat Ketua Menteri di sini baru-baru ini.

“Tujuan penubuhan tabung ini adalah untuk memberi bantuan pinjaman maksimum RM5,000 kepada usahawan tani muda berumur 40 tahun ke bawah, dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan.

“Saya telah meminta pihak Dr. Afif mempertimbang, untuk menaikkan jumlah pinjaman TUTM ini daripada RM5,000 kepada RM10,000 atau RM15,000,” katanya pada majlis berkaitan.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam memberitahu, sehingga kini seramai 84 orang menerima pinjaman TUTM.

“Kerajaan Negeri (Pakatan Harapan Pulau Pinang) telah menyalurkan RM430,000 kepada penerima TUTM dengan jumlah keseluruhan seramai 84 penerima, dan masih berbaki RM320,000 daripada jumlah keseluruhan peruntukan (iaitu) RM750,000,” jelasnya.

Bercakap pada sidang media sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin menyatakan bahawa sebelum ini, peminjam kali pertama yang berjaya membayar balik RM5,000 kepada TUTM adalah layak dipertimbang untuk mendapat pinjaman lanjut maksimum RM10,000.

Katanya, MOHD. FAKRUL AZIM YUSOF, 20, merupakan satu-satunya penerima TUTM pada majlis penyampaian cek TUTM kali ketujuh tersebut yang diberi RM10,000 pinjaman lanjut kerana berjaya membayar balik RM5,000 pinjaman mikro kredit sebelum ini.

Mohd. Fakrul Azim yang ditemui kemudian merakamkan penghargaan kerana diberi peluang kali kedua untuk meminjam daripada TUTM.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan syukur kepada Allah serta terima kasih atas sokongan keluarga, dapat saya membayar balik jumlah RM5,000 modal yang saya pinjam sebelum ini.

“Ini pinjaman kali kedua, apabila saya mendapat tahu permohonan pinjaman saya diluluskan dengan jumlah sekali ganda (iaitu RM10,000), ini memang boleh dijadikan modal untuk kerja buat saya.

“Bagi saya, skim pinjaman mikro kredit (TUTM) menunjukkan ada bantuan untuk petani, penternak dan nelayan di Pulau Pinang, bukannya kami menyumbang untuk bekalan makanan (food security), tapi tidak mendapat apa-apa manfaat daripada kerajaan,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan Jabatan Pertanian Negeri.

Dalam pada itu, menurut FUZIYAH MAN, RM5,000 pinjaman mikro kredit TUTM yang diterimanya bakal digunakan untuk menaik taraf bengkel perusahaan kuah pencecah ‘Garam Belacan’ di Kampung Alma, dekat Bukit Mertajam miliknya.

“Saya memang akan membina bengkel, tapi masih di rumah dan baki pinjaman mikro kredit ini akan dibelanjakan untuk naik taraf mesin serta melebarkan jaringan pemasaran.

“Bersyukur sangat kepada Allah kerana dapat bantuan daripada Kerajaan Negeri, kerana, sebelum ini saya memang menghadapi masalah modal yang sedikit.

“Saya pun berharap perniagaan semakin bagus, saya boleh bayar balik pinjaman ini, dan boleh buat pinjaman yang lebih besar, seperti yang Kerajaan Negeri cakap, mungkin sampai RM15,000, untuk memajukan lagi perusahaan saya ini,” jelas beliau.