2026 tahun mencabar, Kerajaan Negeri terus perkasa belia dan sukan

9a7d9805 47b4 4c9e 8d98 a21a72df149e

PADANG LALANG – Tahun 2026 dijangka menjadi tahun yang mencabar khususnya bagi portfolio belia, sukan dan kesihatan Pulau Pinang.

Namun begitu, Kerajaan Negeri kekal komited dalam  memperkukuh kapasiti belia serta kesiapsiagaan negeri bagi menghadapi temasya sukan berprestij negara dan peningkatan keperluan kesihatan awam.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, penurunan had umur belia daripada 35 tahun kepada 30 tahun bermula tahun ini memberi cabaran besar kepada landskap pertubuhan belia di negeri ini.

“Walaupun berlaku penurunan had umur belia, Kerajaan Negeri tetap komited menyokong pertubuhan belia supaya mereka terus aktif dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

“Kerajaan Negeri juga akan meneruskan Program Dana Pembangunan Belia yang melibatkan penyaluran dana secara langsung kepada pertubuhan belia, sayap belia serta persatuan yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan Akta Parlimen,” ujarnya ketika menerima kunjungan wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Lalang di sini pagi tadi.

Zi Sen turut memaklumkan bahawa jumlah sukarelawan belia Pulau Pinang di bawah Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) kini telah mencecah 8,000 orang.

Di samping itu katanya, Kerajaan Negeri berharap agar peningkatan penyertaan menerusi semangat kesukarelawanan juga dapat ditambah tahun ini.

“Sungguhpun penurunan had umur belia menjadi cabaran, tetapi sukarelawan yang masih aktif dalam pertubuhan belia boleh terus menyumbang sebagai sukarelawan belia Pulau Pinang,” ulasnya lagi.

 

SUKMA Selangor dan persediaan Sukan SEA

Bagi portfolio Sukan, Zi Sen memaklumkan bahawa tahun 2026 merupakan fasa kritikal menjelang penganjuran sukan dwitahunan, Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor, dengan sasaran 60 pingat emas ditetapkan buat kontinjen Pulau Pinang.

“Seluruh jentera sukan negeri digerakkan bagi memastikan atlet kita benar-benar bersedia untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Justeru, semua pertubuhan dan barisan atlet perlu menggandakan usaha semaksimum mungkin bagi memastikan sasaran 60 emas ini realistik dan mampu dicapai kontinjen kita kelak,” maklum ADUN Padang Lalang itu lagi.

Zi Sen berkata, Pulau Pinang turut dipilih sebagai lokasi beberapa kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa sebagai persediaan ke arah penganjuran Sukan SEA 2027.

“Ini termasuklah kejohanan sepak takraw jemputan Piala TYT  baru-baru ini dan Kejohanan Tinju Piala Malaysia Oktober nanti.

“Tahun ini akan ada banyak perancangan bersama persatuan-persatuan sukan kebangsaan dan Sekretariat Pengelola Kebangsaan.

“Untuk itu, kita telah dipilih sebagai tuan rumah beberapa kejohanan untuk menilai kesiapsiagaan dan kesesuaian yang disebut test run dan crowd run,” ulasnya lanjut.

 

Kesihatan awam dan penguatkuasaan kawalan merokok

Dalam aspek kesihatan, Zi Sen merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas pengumuman projek Hospital Kepala Batas dan Klinik Kesihatan Kubang Semang, sambil menegaskan keutamaan diberikan kepada pelaksanaan projek tersebut mengikut garis masa ditetapkan.

“Kehadiran orang ramai di fasiliti kesihatan awam memang meningkat, jadi keutamaan kita adalah untuk pastikan kemudahan sedia ada mampu menanggung terutamanya di kawasan yang pesat membangun.

“Pada masa sama, saya juga mahu maklumkan bahawa berlaku penurunan ketara kes denggi di Pulau Pinang tahun lalu dan berharap trend positif itu dapat diteruskan,” katanya lagi.

Dalam sesi sama, beliau turut menyentuh mengenai Akta 852 Kawalan Merokok, termasuk larangan penjualan rokok elektronik yang sedang diperhalusi pada peringkat Persekutuan.

Difahamkan, trend merokok dan rokok elektronik menunjukkan kelaziman (prevalens) menurun dalam kalangan penduduk Pulau Pinang.

 

Pembangunan DUN Padang Lalang dan agenda kesejahteraan keluarga

Di peringkat DUN, Zi Sen berkata beberapa projek infrastruktur utama di Padang Lalang sedang dan akan dilaksanakan, termasuk pembinaan medan selera, naik taraf Pasar Bukit Mertajam, kolam renang Jalan Betek serta projek tebatan banjir di Jalan Tembikai dan Sungai Kilang Ubi.

“Antara isu utama termasuklah kesesakan jalan raya terutamanya Jalan Song Ban Kheng dan Jalan Kota Permai.

“Kita mengadakan perjumpaan dengan agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab dan pertubuhan-pertubuhan pada peringkat komuniti dalam mencari penyelesaian terbaik.

“Pembangunan infrastruktur ini penting bagi meningkatkan keselesaan dan kualiti hidup penduduk.

“Tahun ini juga, kita akan gerakkan lebih banyak program berteraskan keluarga, kesihatan dan kesihatan mental yang selaras dengan visi Penang2030,” katanya menutup bicara.