209 kes penderaan kanak-kanak dalam tempoh sembilan bulan

GEORGE TOWN – Sebanyak 209 kes penderaan kanak-kanak direkodkan di seluruh negeri Pulau Pinang bermula Januari sehingga September tahun ini.

 

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng berkata, berdasarkan kes yang direkodkan, sekurang-kurangnya satu kes dilaporkan setiap hari.

 

Rekod menunjukkan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) sebanyak 21 kes penderaan dilaporkan; Seberang Perai Tengah (SPT) pula 97; Seberang Perai Selatan (SPS, 14); Timur Laut (TL, 58) dan Barat Daya (BD, 19).

 

“Manakala mengikut jenis penderaan pula, membabitkan serangan seksual adalah sebanyak 91 kes diikuti kes pengabaian (67); penderaan fizikal (42) dan penderaan emosi (9),’ ujarnya.

 

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Keempat Belas di sini.

 

Chong Eng, yang juga ADUN Padang Lalang mendedahkan bahawa faktor yang membawa kepada perlakuan ini adalah berpunca daripada masalah kewangan; kecuaian ibu bapa termasuk penjaga dan pengasuh; pelaku terlibat dengan jenayah; kanak-kanak hiperaktif; pengaruh siber; masalah kesihatan ibu bapa; kanak-kanak mengikut teman lelaki serta pengaruh rakan sebaya.

 

Mengulas lanjut, Chong Eng memaklumkan bahawa pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa mengambil langkah proaktif mengikut prosedur operasi standard jabatan berkenaan.

 

“Antaranya menyelamatkan mangsa dalam tempoh 10 jam selepas menerima makluman atau aduan dan membawa mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan sewajarnya jika ada keperluan.

 

Selain itu, JKM juga akan mendapatkan perintah sementara di bawah Seksyen 19 Akta Kanak-kanak 2001 dan perintah tetap di bawah Seksyen 30 akta sama diperoleh daripada pihak mahkamah untuk menempatkan mangsa di bawah jagaan atau tempat yang selamat serta khidmat nasihat dan intervensi kaunseling

 

“(Dan) pasukan pelindungan kanak-kanak yang dilantik di bawah Seksyen 7 Akta Kanak-Kanak 2001 juga memainkan peranan dalam melaksanakan program-program advokasi berkaitan penderaan kanak-kanak pada peringkat komuniti setempat,” katanya.

 

Menjawab soalan tambahan berhubung peranan yang dimainkan oleh Kerajaan Negeri, Chong Eng memberitahu bahawa di bawah agensi negeri, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), program-program kesedaran seperti ‘Penang Goes Orange’ yang diadakan setiap tahun bagi mengekang perlakuan penderaan terhadap kanak-kanak dan wanita.

 

Kerajaan Negeri juga mempunyai Dasar Keluarga Selamat dalam memberi kesedaran bahawa perlakuan penderaan adalah salah dari segi undang-undang selain meningkatkan sokongan kepada keluarga yang mengalaminya.

 

“Pusat Perkhidmatan Wanita (PPW) yang disokong oleh Kerajaan Negeri turut melaksanakan ‘Program Okay Tak Okay’ di sekolah dan komuniti untuk mengajar ibu bapa dan kanak-kanak mengenai sentuhan yang selamat dan tidak selamat serta bagaimana untuk mendapatkan bantuan,” jelasnya.

 

Dalam masa sama, Chong Eng berharap Kementerian Pendidikan Malaysia agar mengadakan lebih banyak program-program kesedaran dan pendidikan di sekolah.

 

“(Hal ini demikian) kerana susah untuk (Kerajaan Negeri dan agensinya) ‘outreach’ kepada kanak-kanak (yang mungkin terkesan akibat penderaan) agar mereka tahu cara-cara melindungi diri sendiri.

 

“Di samping itu, saya juga berharap agar Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) yang ditubuhkan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) menjalankan lebih banyak program-program kesedaran di kawasan masing-masing bagi mengekang berlakunya perlakuan jenayah,” katanya.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR