22 acara sehingga Disember demi semarak kesedaran zakat

Admin
IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bulan-Bulan Zakat Pulau Pinang 2020 di Masjid Timah selepas Maghrib tadi antara lain memberitahu peri penting agenda pembinaan generasi ‘Khaira ummah’ dalam kalangan muda-mudi menerusi institusi ZPP.

SEBERANG JAYA – Sehingga Disember ini, Zakat Pulau Pinang (ZPP) mengatur 22 acara demi menyemarak lagi kesedaran menunaikan kewajipan zakat dalam kalangan umat di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bulan-Bulan Zakat Negeri Pulau Pinang di Masjid Timah, Kampung Masjid Timah di sini pada 10 September 2020.

(Dari kiri) AMRAN Hazali, Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor pada acara Majlis Pelancaran Bulan-Bulan Zakat 2020 di Masjid Timah, Kampung Masjid Timah di sini pada 10 September 2020.

“Generasi muda kita perlu dibekalkan dengan kesedaran, ilmu dan nilai.

“Kalau tiada persediaan kesedaran dalam menghadapi cabaran-cabaran pada masa hadapan, besar kemungkinan kita akan tersisih.

“Justeru, menerusi institusi pungutan dan agihan zakat ini (iaitu ZPP), kita berharap umat Islam terutama golongan berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) dapat menikmati sosio kehidupan yang lebih berkualiti,” jelasnya yang juga Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah ZPP.

ACARA anjuran ZPP di Dewan Solat Masjid dilangsungkan mengikut piawaian operasi standard (SOPP) Perintah Kawalan Pergerkan Pemulihan (PKPP) dengan penjarakan fizikal 1 meter (m) antara satu sama lain.
AMRAN Hazali (kiri) menyantuni Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman sebelum berlangsungnya Majlis Perasmian Bulan-Bulan Zakat 2020 Pulau Pinang.

Menurutnya, program tahunan ZPP yang mula dianjurkan pada tahun lepas, antara lain akan memberi tumpuan pada usaha pengimarahan masjid dan mereformasi institusi pendidikan Islam.

“Dengan memberi tumpuan pada dua agenda ini, kita berharap generasi ‘khaira ummah’ dapat dibangunkan,” jelasnya lagi yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat.

AMRAN Hazali

Sebelum pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali memberitahu bahawa agensi pengurusan sumber zakat negeri sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada pertengahan bulan Mac lepas telah mengagihkan jutaan ringgit bagi membela pelbagai sektor ekonomi umat Islam yang terjejas dek pandemik COVID-19.

Justeru, beliau memberitahu kempen kesedaran mengenai kewajipan membayar zakat adalah penting bagi ZPP untuk memastikan sosio-ekonomi umat pasca PKP dapat terus dibela lagi.

“Objektif penganjuran program Bulan-Bulan Zakat ini antara lain untuk mempromosi dan menyebarluaskan informasi mengenai kewajipan ibadat zakat.

“Selain itu, bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan pendedahan mengenai kepentingan sistem pengurusan zakat secara digital,” jelasnya lagi.

MOHD. Tuah Ismail (bersongkok hitam) antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai acara selepas Maghrib tadi di sini.

Mufti Kerajaan Negeri, Sohibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail yang juga Ahli Lembaga Pengarah ZPP; Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Zulkifli Long; Rektor Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang, Prof. Dr. Mohamed Abdul Hamid; Pengurus Besar Wakaf Pulau Pinang, Ustaz Rosidi Hussain; dan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Shafee Abd. Samad turut sertai majlis pelancaran tersebut.

Difahamkan, majlis pelancaran portal zakat, penerbitan buku ‘Amanah Ummah Dijaga, Hak Asnaf Dibela’, Talaqah Zakat, Khutbah Khas Zakat, Pelancaran Projek Peladang Nanas serta beberapa bual bicara menerusi media arus perdana merupakan antara 22 acara yang akan dilangsungkan bermula bulan September ini.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB