22 rangkul anugerah Pejabat Hijau P. Pinang

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF


GEORGE TOWN – Sebanyak 22 pejabat daripada 19 organisasi swasta dan tiga agensi kerajaan diiktiraf sebagai ‘Pejabat Hijau Pulau Pinang’ di sini barubaru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, inisiatif terbaru itu dilancarkan selepas Kerajaan Negeri berjaya melaksanakan Kempen Tiada Beg Plastik Percuma dan larangan bekas makanan polistirena atau ‘keranda putih’ sejak beberapa tahun lepas.

Pun begitu, katanya, kejayaan yang sedia ada masih tidak memadai bagi merealisasikan impian Pulau Pinang sebagai negeri hijau pertama di Malaysia.

“Pulau Pinang kini dalam proses menjadi negeri hijau pertama di Malaysia,” ujar beliau dalam Majlis Penyampaian Sijil Projek Pejabat Hijau Pulau Pinang 2013 di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon, Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap Naib Pengerusi Penang Green Council, PGC), Datuk Ar. Patahiyah Ismail (Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang, MPPP) dan Maimunah Mohd. Sharif (Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) turut hadir pada majlis itu.

Melalui inisiatif terbaru tersebut, beliau berharap dapat memangkin pengguna di negeri berkenaan mengutamakan penggunaan produk hijau.

“Setiap pembelian mesti memberikan keutamaan kepada isi kandungan hijau. Contohnya mencetak kad nama, mesti menggunakan kertas kitar semula.

“Melalui usaha ini diharapkan dapat meningkatkan permintaan pasaran produk hijau dan sekaligus menggalakkan lebih ramai pengusaha produk hijau di Pulau Pinang,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) berkata, Pulau Pinang mencatatkan sasaran kitar semula tertinggi berbanding negeri-negeri lain, iaitu berjumlah 24 peratus.

Berdasarkan pencapaian itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri mampu mencapai 40 peratus kitar semula lebih awal sungguhpun Kerajaan Pusat mensasarkan peratusan itu pada tahun 2020 nanti.

Kerajaan Negeri melalui PGC mula melancarkan kempen Pejabat Hijau Pulau Pinang pada September tahun lepas.