Atlet judo negeri dapat tunjuk ajar juara Olimpik

Admin

Oleh: WATAWA NATAF  ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Skuad Judo Pulau Pinang yang bakal berentap di kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 Kuala Lumpur pada 28 Jun hingga 7 Julai ini cukup bertuah kerana mendapat tunjuk ajar bekas juara Judo dari Korea, Jeon Ki Yeong di sini baru-baru ini.

Ki Yeong merupakan juara Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan turut memenangi enam kejohanan utama termasuk Kejohanan Dunia sebelum bersara pada tahun 1999.

Kem latihan yang berlangsung dari 4 hingga 7 Jun lalu di Penang Gold Club di sini secara keseluruhannya memberi tunjuk ajar kepada para atlet muda mengenai teknik dan taktik sukan judo. Selain itu, Ki Yeong turut berkongsi pengalaman serta memotivasikan para atlet terlibat.

Susulan itu, Presiden Persatuan Judo Pulau Pinang, Jhonny Khoo mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) kerana berusaha merealisasikan hasrat pasukannya.

“Terima kasih kepada Pengarah MSNPP, Federick Tan kerana berjaya menganjurkan kem ini pebagai persediaan terbaik kepada atlet-atlet muda negeri menghadapi cabaran kejohanan nanti.

“Pada masa sama, saya juga berharap suatu hari nanti Pulau Pinang dapat membina sebuah pusat seni bela diri bagi membolehkan atlet-atlet sukan tempur negeri berlatih di lokasi sama,” ujarnya pada peganjuran sesi latihan khas berkenaan di sini baru-baru ini.

Turut sependapat adalah Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti dan Kesenian, Chong Eng.

“Ini adalah bagi bagi melibatkan lebih ramai masyarakat di negeri ini dalam sukan seni bela diri,’’ kata beliau.