MBPP rai pesara dan kakitangan cemerlang

Admin
SEBAHAGIAN daripada penerima APC yang menzahirkan perasan gembira pagi tadi.
Oleh : SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Seramai 238 kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2019.

Serentak itu, MBPP turut meraikan 111 kakitangan yang telah bersara tahun 2018 atas komitmen serta menabur bakti sepanjang perkhidmatan masing-masing.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang menyatakan bahawa penganjuran berkaitan adalah sebagai pengiktirafan kepada warga MBPP yang menunjukkan prestasi cemerlang serta penghargaan kepada kakitangan yang bersara pada tahun 2018.

“Warga MBPP perlu berasa bangga kerana dapat diberi amanat dalam sektor perkhidmatan awam.

“Saya berharap agar warga MBPP dapat memberikan perkhidmatan yang paling cemerlang dan berpegang teguh kepada prinsip asas CAT (Cekap, Akauntibiliti dan Telus) dalam menjalankan tugas harian.

“Penerima APC dan semua warga MBPP merupakan pemangkin untuk merealisasikan aspirasi Majlis iaitu agenda hijau dan kebersihan selaras dengan visi Penang2030,” ucapnya pada majlis berkaitan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya, Ir. Addnan Mohd. Razali, Ahli-ahli Majlis, ketua-ketua jabatan dan wakil-wakil Kesatuan Sekerja.

Dalam pada itu, bagi pesara Pembantu Awam Perkhidmatan Perbandaran MBPP, ABDULL JABBAR KACHU MEERA, 61, beliau berasa bertuah serta bersyukur dengan penganugerahan diterima setelah 41 tahun menabur bakti.

“Saya minat dengan kerja ini kerana ia merupakan ‘senaman’ harian saya iaitu menguruskan sistem perparitan dengan baik selain bertugas menyapu sampah.

“Kenangan istimewa saya di MBPP ialah membantu mangsa banjir selama 10 hari sehingga larut malam.

“Walaupun ia memang memenatkan, tapi kejadian alam itu memberi semangat kepada saya serta rakan-rakan yang lain untuk terus membantu mangsa-mangsa terlibat,” ujarnya ketika ditemui Buletin Mutiara sejurus majlis penyampaian.

Waris, Panggajawaly Shanmugam, 62, juga menceritakan komitmen mendiang suaminya, A. NAGASAMY, yang bertugas sebagai Pembantu Awam Perkhidmatan Perbandaran yang berjaya menabur bakti lebih 40 tahun di MBPP.

“Suami saya memang suka kerja dengan MBPP. Beliau amat komited dan menunjukkan komitmen tinggi, malah tidak akan mengambil sebarang cuti walaupun sakit,” responsya sambil berterima kasih kepada MBPP di atas penghargaan yang diberikan kepada mendiang suaminya.

Salah seorang penerima APC, Pegawai Perubatan Kesihatan Persekitaran MBPP, DR. CHIN WEE LOON, 45, menyatakan bahawa berkhidmat di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan merupakan perkara istimewa kepada dirinya kerana beliau mempelajar benda baru pada setiap hari terutamanya dalam membantu umum pada aspek kesihatan umum.

“Saya suka melihat masyarakat gembira dan berpuas hati apabila mereka menerima perkhidmatan yang telah ditawarkan,” ulasnya sambil mendedikasikan penghargaan tersebut kepada ahli keluarga yang banyak membantu beliau.

AR. Yew Tung Seang (tengah sekali) menyampaikan sijil APC kepada salah seorang kakitangan MBPP pagi ini.